Rangkuman Tahunan YaPEIM 2020

Tahun 2020 hampir melabuhkan tirainya namun pastinya pelbagai warna warni sudah tersemat pada kalendar aktiviti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sepanjang tahun ini.

Program Foodbank YaPEIM 2.0 antara yang aktif dalam menyantuni golongan sasar di mana sejak 1 Januari hingga 31 Disember 2020 ia telah memberi manfaat kepada 641,000 penerima dengan jumlah perbelanjaan sebanyak 10.71 juta direkodkan.

Ia membabitkan RM9.52 juta yang memberi manfaat kepada 540,000 orang di 1072 lokasi di seluruh negara dan RM1.19 juta (ready to eat) membawa manfaat kepada 101,000 di 177 lokasi di seluruh negara.

Malah Inspirasi Musaadah COVID-19 yang termasuk dalam komponen Foodbank YaPEIM, dilaksanakan bermula tarikh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac sehingga 30 November 2020 mencuri perhatian di kalangan masyarakat memandangkan tahun ini merupakan cabaran yang cukup hebat buat lebih 30 juta rakyat Malaysia.

Di saat masyarakat pelbagai lapisan di negara ini diuji dengan pelbagai cabaran termasuk puluhan ribu yang dibuang kerja, YaPEIM tampil dengan program ini bagi membantu meringankan beban mereka yang terkesan.

Antara yang dibantu pastinya petugas barisan hadapan seperti Petugas Kesihatan, Polis, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Keselamatan selain golongan asnaf, kumpulan B40, miskin tegar, miskin, mudah miskin dan pelajar miskin.

Bagi Program Inspirasi Musaadah COVID-19, perbelanjaannya berjumlah RM5,961,438.60 dengan pecahan tunai&makanan kering (RM5,543,057.35), ready to eat (RM418,381.25), manakala untuk keseluruhan penerima manfaat berjumlah 359,780 orang di 1142 lokasi di seluruh negara.

Angka ini menunjukkan keprihatinan yang sangat tinggi pihak YaPEIM terhadap perkembangan semasa yang sedang melanda negara dengan memanfaatkan sumbangan Tabung Amanah YaPEIM bagi membantu mereka yang terkesan.Sepanjang tempoh pelaksanaan PKP atau PKPB pihak YaPEIM telah menyantuni kumpulan penghantar makanan (Food Rider), petugas barisan hadapan dan keluarga B40 yang terjejas di seluruh negara. Bantuan ini berbentuk barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung gandum dan lain-lain bersesuaian untuk menampung keperluan dapur penerima.

Penyerahan barangan keperluan ini turut dilakukan di kawasan-kawasan pendalaman seperti diagihkan di daerah Beaufort, Sabah pada awal November lalu yang mana sumbangan ini dihantar menggunakan motosikal disebabkan kekangan laluan masuk ke kawasan perkampungan berkenaan.

Program Inspirasi Musaadah COVID-19 ini juga turut mendapat perhatian tinggi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang kerap ‘turun padang’ bersama menyampaikan sumbangan.

Sudah tentu program pengislaman masyarakat Orang Asli Suku kaum Semai dan Temiar di Kampung Makmur, Ulu Kinta, Perak pada 12 Ogos paling diingati apabila 60 individu memeluk Islam selain turut menerima bantuan foodbank.

Disamping itu juga YaPEIM turut mewujudkan program Inspirasi Musaadah Aidilfitri dan Inspirasi Musaadah YaPEIM yang mempunyai objektif yang sama untuk membantu mereka yang memerlukan.

Bagi program Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) pula, sejak ia dilancarkan pada 6 November 2019, ia berjaya mengumpulkan jumlah RM22,684,128.47 setakat 31 Disember 2020 membabitkan pecahan RM22.455 juta (YaPEIM dan Sumbangan Korporat), RM197,945.30 (Laman Web Dana Inspirasiku, Snap&Pay, QR Code dan lain-lain) dan RM31,183.17 (Tabung Cawangan Ar Rahnu).

Daripada jumlah terkumpul itu, YaPEIM sudah mengagihkan sebanyak RM18.619 juta membabitkan 131,006 orang penerima manfaat dikalangan 107,879 pelajar sekolah (55,585 keluarga) dengan jumlah RM7.051 juta dan juga 23,137 pelajar institusi pengajian tinggi (40 IPT) dengan RM11.568 juta.

Dana Inspirasiku berobjektifkan membantu ketua keluarga yang berpendapatan rendah atau golongan B40 dalam menyelesaikan yuran sekolah anak-anak dan pelajar mula membuka permohonan pada Januari 2020 dan mendapat permohonan yang cukup menggalakkan.

YaPEIM turut membuat kerjasama dengan pihak IPT dalam membuat pembayaran dana kepada pemohon yang layak termasuk turun ke IPT terpilih.

Tidak ketinggalan untuk tahun 2020 ini YaPEIM turut memperhebat program Inspirasi Pendidikan YaPEIM yang mula dilancarkan pada 2016 di mana ia memberi fokus kepada membantu pembangunan insan dan kemenjadian pelajar serta memberi tips dan teknik penting kepada Kumpulan Sasar bagi mencapai tahap LULUS dalam peperiksaan UPSR dan SPM.

Alhamdulillah sejak modul YaPEIM yang dihasilkan oleh Guru-guru Cemerlang (GC) dengan tumpuan kepada pelajar kategori sederhana dan lemah yang akan menduduki peperiksaan ini berjaya memberi impak bagi subjek Matematik dan Bahasa Inggeris untuk Sekolah Rendah dan Bahasa Melayu dan Sejarah untuk Sekolah Menengah.

Modul ini juga boleh dimuat turun di laman web dan media sosial YaPEIM bagi pembelajaran secara digital secara percuma selepas individu terbabit mengikuti tiga langkah mudah yang perlu dilakukan iaitu dengan mengikuti laman Facebook YaPEIM ‘YaPEIM (Official)’ dan Facebook ‘Dana Inspirasi Malaysia’ sebelum menekan butang Like dan Share pada posting yang dilampirkan di laman Facebook berkenaan serta melakukan Tag sekurang-kurangnya tiga rakan yang memerlukan modul ini di bahagian ruang komen posting berkenaan.

Untuk tahun 2020 seramai 108,750 penerima manfaat direkodkan dengan RM883 ribu dibelanjakan bagi program ini. Modul pembelajaran ini bukan sahaja diedarkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terpilih malah turut diagihkan secara terus kepada sekolah-sekolah yang dikenal pasti.

Dalam masa sama YaPEIM turut mengambil berat dan memberi perhatian yang cukup mendalam terhadap anak-anak dan balu yang kehilangan suami atau bapa selaku ketua keluaga secara mengejut khususnya yang mengalami kemalangan dan musibah.

Menerusi Program Sinar Kasih yang diperkenalkan sebagai inisiatif yang proaktif dalam menyantuni golongan ini, YaPEIM menyumbang RM200 sebulan selama setahun kepada anak-anak dan bantuan perniagaan sehingga RM20,000 kepada balu yang mana sedikit sebanyak memberi sinar baru kepada mereka.

Antara program Sinar Kasih pada tahun ini ialah di daerah Batu Gajah pada Mei lalu yang mana penerimanya ialah kepada Pn. Nur Aishah Binti Ahmad yang menerima RM3200 dan Pn. Rapeah Binti Zainal yang menerima RM1600.

Turut menerima manfaat daripada program sinar kasih ini ialah Puan Tengku Zarina Tengku Mahmood yang menetap di Kampung Panji, Kota Bharu, Kelantan pada September lalu. Beliau yang kini membesarkan tiga anaknya selepas kematian suami akibat kemalangan jalan raya menerima bantuan tunai berjumlah RM7200.

Sejak 1 Januari hingga 30 November seramai 68 keluarga dengan 204 anak dibantu membabitkan perbelanjaan berjumlah RM595,200. Sejak program ini dimulakan pada 2010 ianya sudah membantu 841 keluarga dengan 2460 anak membabitkan perbelanjaan berjumlah RM8.616 juta.

Tidak ketinggalan untuk tahun ini juga YaPEIM turut aktif dengan program keusahawanan dengan pakej memperkasa produk dan pensijilan seperti kursus pensijilan halal yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Terengganu.

Hingga kini 145,612 usahawan CMASA direkodkan dengan 823 penjual dan 1,229 SKU dicatatkan pada tahun 2020. Dalam masa sama pakej ‘coaching dan mentoring’ sebagai insentif kepada usahawan digerakkan bagi meningkatkan pengetahuan dan pendedahan kepada keperluan pasaran pada masa kini. Bagi pakej ini jumlah terkumpul yang dibantu seramai 5,804 orang (2020: 672 orang).

Sejak diperkenalkan pada 1 Jun 2019, Ar Rahnu Bisnes membiayai RM191,667,016 juta yang diberikan kepada 7,300 usahawan dalam pelbagai kluster antaranya (pemborongan dan peruncitan), (pembuatan dan pengilangan), (Perkhidmatan makanan dan minuman), (Pertanian dan perladangan), (Penternakan dam perikanan), (Elektrik dan elektronik) dan (Pembinaan dan kejuruteraan).

Dalam masa sama, YaPEIM turut menyediakan pakej memperkasa produk dan pensijilan sebagai pemudahcara urusan pengiktirafan dan pensijilan produk. Untuk itu jumlah terkumpul seramai 2,029 orang (2020: 488 orang).

Aktiviti menyantuni usahawan pada tahun ini juga boleh dilihat hasil lawatan dan taklimat yang diberikan kepada Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM), Ogos lalu yang menunjukkan minat dengan platfrom e-dagang CMASA.my.

Taklimat dan penerangan yang diberikan kepada 20 artis veteran tanah air berhubung platform CMASA.my itu sedikit sebanyak membuka peluang baru buat artis veteran untuk meningkatkan jualan masing-masing. Pengerusinya Kismah Johar turut mengakui insentif yang ditawarkan YaPEIM ini dapat membantu artis veteran memasarkan produk secara atas talian dengan lebih berstrategi.

Bagi tahun 2020 juga, seiring dengan semangat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang ditekankan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, YaPEIM dipertanggungjawab melaksana Program Inspirasiku MY H.A.U.S selain menyumbang kepakaran dan membantu kumpulan sasar ini.

Program Inspirasiku MY H.A.U.S ini adalah satu inisiatif baru untuk membantu kumpulan sasar dari pelbagai latar belakang yang dilihat berpotensi untuk diberi peluang.

Ia berobjektifkan kepada pembinaan ekosistem sosial baharu, peluang agihan ekonomi yang lebih baik, seterusnya kesan signifikan yang bermula daripada sebuah keluarga yang baik akan membentuk satu sistem masyarakat yang unggul.

Tujuh teras sokongan digariskan merangkumi apresiasi, tempat tinggal, kelestarian kehidupan, pemerkasaan latihan kemahiran, transformasi kerjaya, inspirasi pendidikan anak dan pembangunan sahsiah diri.

Untuk itu keluarga puan Rashidah Semail, 48, telah dipilih sebagai penerima manfaat bagi program MY H.A.U.S ini di mana rumahnya di Kampung Parang Puting, Batu 6 Setengah, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan yang sebelum ini dalam keadaan usang sudah dibaik pulih.

Untuk rekod Program Inspirasiku MY H.A.U.S di bawah kelolaan YaPEIM ini menyediakan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi melaksanakan tujuh teras sokongan yang telah digariskan.

Alhamdulillah, tahun ini sebanyak 14 negeri terbabit dengan pelaksanaan ibadah qurban membabitkan 270 lembu dan biri-biri di 243 lokasi yang dilaksanakan serentak seluruh negara dengan kerjasama pelbagai pihak rakan pelaksana YaPEIM. Ia turut memberi manfaat kepada 18,000 orang dengan anggaran daging seekor lembu diagihkan kepada 60 orang dengan purata seorang memperolehi 1 kilogram daging.

Memasuki tahun ke-13 YaPEIM melaksanakan Program Ibadah qurban yang mana pertama kali dianjurkan sejak 2007 sementara menjadi tahun ke-10 menerusi skim Tabung Ibadah Qurban YaPEIM (TaQY) ia banyak membantu dalam melunaskan hasrat mereka yang kurang berkemampuan untuk melaksanakan ibadah itu secara tabungan dengan bayaran bulanan serendah RM10. Bagi yang berkemampuan pula tidak menjadi masalah untuk mereka mencarum dengan jumlah yang lebih besar serta tidak terhad kepada jumlah bahagian qurban yang ingin didaftarkan.

YaPEIM Gold yang merupakan institusi milik penuh YaPEIM turut aktif dalam menawarkan produk barangan kemas seperti rantai, gelang, cincin serta produk bullion (wafer emas, bar emas mengikut dan syiling) pada berat tertentu dengan mutu 999 (triple nine). Malah untuk tahun 2020 YaPEIM Gold turut mengeluarkan wafer emas edisi kemerdekaan yang habis dijual.

Selain itu YaPEIM Gold turut menjalinkan kerjasama dengan pelukis tersohor tanah air YM Raja Azhar Raja Lop Idris bagi menghasilkan koleksi wafer emas edisi Asma ‘Ul Husna yang mana edisi (Ar Rahman&Ar Rahim) menjadi pilihan pertama diterbitkan untuk edisi November. Rekaan wafer emas edisi ini juga akan dikeluarkan secara berperingkat membabitkan 99 nama Asma ‘Ul Husna setiap bulan.

Keluaran sebulan dua nama Allah SWT itu boleh didapati di outlet YaPEIM Gold di kompleks beli belah NU Sentral, Kuala Lumpur bermula 1 November lalu dan pelanggan juga boleh membuat tempahan awal menerusi platform atas talian dan aplikasi Telegram YaPEIM Gold. Pelanggan juga boleh membuat pembelian di ‘YaPEIM Digital Store’ menerusi aplikasi digital Avana di mana ia merupakan inisiatif YaPEIM dalam merancakkan urus niaga menerusi perdagangan sosial pada masa kini.

Sudah tentu 2020 juga mendatangkan banyak perkembangan buat Program Mikro kredit Ar Rahnu YaPEIM yang merupakan salah satu aktiviti di bawah sosial bisnes yayasan ini. Bagi tahun 2020 (1 Januari – 31 Disember 2020) sebanyak RM1.370 bilion direkodkan bagi jumlah pembiayaan manakala 586,194 transaksi telah dicatatkan membabitkan pelbagai teras seperti Ar Rahnu Prestij, Ar Rahnu Bisnes, Ar Rahnu Didik dan Ar Rahnu Emas.

YaPEIM telah mengambil inisiatif ke hadapan dengan membuat penambahbaikan kepada konsep pelaksanaan semasa iaitu pinjaman berasaskan penggabungan kontrak qard (Pinjaman), rahn (cagaran), wadi’ah yad dhamanah (simpanan) kepada pembiayaan di bawah KONSEP TAWARRUQ dengan sokongan Platform Komoditi di bawah Bursa Suq Al-Sila’.

Pelaksanaan konsep Tawarruq ini akan menjadi dimensi penting kepada perkhidmatan Ar Rahnu YaPEIM yang peka dengan perkembangan muamalat Islam dan mematuhi pelaksanaan piawaian Shariah yang digariskan selaras dengan Keputusan Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia (MPS BNM), 2018-2019, dalam Polisi Dokumen (PD) Rahn. Pengaplikasian konsep baru mula dilaksanakan di seluruh cawangan Ar Rahnu YaPEIM pada 7 Februari 2020

Selain itu juga, Ar Rahnu YaPEIM turut memperkenalkan inisiatif Ar Rahnu YaPEIM Online yang mana ia merupakan perkhidmatan yang menawarkan kemudahan pembayaran secara atas talian bagi jumlah pembiayaan dan upah simpan. Ia juga bertujuan memudahkan pelanggan untuk membuat aktiviti pembayaran tanpa sentuh yang mana perkhidmatan ini hanya mengenakan caj perkhidmatan serendah RM1.50 untuk setiap transaksi pembayaran.

Tidak ketinggalan produk Ar Rahnu Care yang dilancarkan pada 2 Disember 2020 yang memberi lebih pilihan kepada pelanggan pelbagai kelompok masyarakat seterusnya menyantuni golongan sasar terdiri daripada pesakit kronik (45 jenis penyakit disenaraikan oleh pengendali takaful MySalam), diberhentikan kerja, kebakaran, kemalangan jalan raya, bencana alam (banjir, berlaku perubahan pada struktur tanah, ribut) dan kematian ketua keluarga (kemalangan, kebakaran, mati lemas, bencana alam).

Produk Ar Rahnu Care YaPEIM juga menawarkan margin pembiayaan sehingga 80 peratus daripada nilai emas semasa dengan maksimum pembiayaan berjumlah RM5,000.00 yang disifatkan mampu membantu pelanggan memperoleh bantuan awal kewangan segera dengan upah simpan serendah 75 sen sahaja.

Selain itu Ar Rahnu YaPEIM turut memperkenalkan perkhidmatan Ar-Rahnu YaPEIM i-Protect kepada pelanggannya dengan menawarkan pelan perlindungan takaful pada harga yang berpatutan sesuai dengan kehendak yang diperlukan. Ar-Rahnu YaPEIM i-Protect mempunyai sistem pengendalian yang teratur dan menepati kehendak dalam proses tuntutan (claims) pelanggan.

Ianya juga merupakan produk berlandaskan Syariah selain permohonan dalam jangka masa 1 hingga 30 hari bekerja tertakluk kepada kelengkapan dokumen yang diperlukan dan jenis kematian/kecacatan kekal.

Sejajar dengan usia Ar Rahnu YaPEIM yang sudah menjangkau 20 tahun penubuhannya pada 2020, langkah efektif telah di ambil dengan membuat penjenamaan semula apabila menggantikan nama Perkhidmatan Kaunter Bergerak YaPEIM (PKBY) yang telah diwujudkan pada 28 Jun 2015 kepada Ar Rahnu YaPEIM Akses Mobile. Ar Rahnu YaPEIM Akses Mobile ini bukan sahaja berperanan bagi tujuan promosi malah mempunyai fungsi yang sama seperti cawangan statik yang membolehkan transaksi penjualan emas dan gadaian dilakukan.

Ia membabitkan penjenamaan terhadap enam bas dan tiga van masing-masing satu di Pahang, Terengganu, Kuala Lumpur, Perak, Melaka dan Kedah serta tiga van iaitu dua di Sabah dan satu di Sarawak yang mana ia muncul dengan imej baru yang lebih segar dan menarik seterusnya mencapai objektif kewujudannya untuk terus menyantuni masyarakat di seluruh pelosok tanah air. Ia secara rasmi dilancarkan pada sambutan Ar Rahnu YaPEIM pada 5 Oktober 2020.

Pada majlis sambutan itu juga Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dianugerahkan sebagai Tokoh Ar Rahnu atas jasa beliau selaku pemikir dalam mengasaskan sistem pajak gadai Islam di Malaysia.

PKP yang mula dilaksanakan kerajaan ternyata memberi kesan kepada pelanggan Ar Rahnu YaPEIM, untuk itu pihak YaPEIM membenarkan pengecualian bayaran upah simpan dan penangguhan penebusan barang gadaian kepada 21,000 pemegang akaun gadaian Ar Rahnu YaPEIM di seluruh negara membabitkan pengecualian bayaran upah simpan sebanyak RM500,000.

Ia melibatkan gadaian yang mencapai tempoh 10 bulan dan dibuat berikutan penutupan cawangan Ar Rahnu YaPEIM di seluruh negara.

Sementara itu, data perbelanjaan pembangunan sosioekonomi dan amal jariah YaPEIM berjumlah RM36.92 juta yang memberi manfaat kepada 881,730 penerima.

Secara keseluruhan program-program tersebut telah memberi manfaat kepada 2.31 juta orang yang terdiri daripada pelanggan, pengguna dan penerima manfaat produk dan perkhidmatan YaPEIM seperti berikut; Penerima manfaat Ar Rahnu YaPEIM (1.14 juta orang), Program Amal Jariah (880,988 orang), Usahawan Foodbank dan lain-lain (742 orang), Pelanggan YaPEIM Gold (3,789 orang), Ahli Tabung Ibadah Qurban (59,475 orang) dan Penyumbang Skim Potongan Gaji (279,049 orang).

Kesemua aktiviti amal jariah, sosio kebajikan serta perniagaan yang dijalankan YaPEIM pada tahun ini jelas berada di fasa yang berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini, selain berhadapan dengan pandemik COVID-19, YaPEIM terpaksa merencana strategi baharu ketika tempoh PKP mahupun PKPB yang memerlukan semua warganya bekerja dalam keadaan norma baharu untuk menggerakkan segala program dan aktiviti perniagaan yang sudah diatur.

Bagaimanapun segala cabaran itu tidak mematahkan semangat dan agenda YaPEIM yang ditubuhkan bagi membantu serta membangun ekonomi masyarakat Islam di negara ini, sebaliknya ia menjadikan YaPEIM lebih matang dan bersemangat untuk terus memacu segala objektifnya.

Bagi 2021 sudah tentu lebih banyak cabaran bakal ditempuhi terutama dalam meningkatkan ‘kantung’ kewangan yayasan serta memastikan sumbangan Tabung Amanah YaPEIM sampai kepada kumpulan sasar dan memberi impak yang tinggi kepada kesejahteraan masyarakat. Justeru tekad YaPEIM untuk 2021 ini untuk terus dinamik dalam mencapai hasrat dan matlamat yang ingin dilaksanakan sejajar dengan objektif penubuhannya.