Tujuh asnaf terharu dibantu YaPEIM, tekad keluar daripada kemiskinan

23 April 2024 – Seramai tujuh asnaf di Perlis menzahirkan kesyukuran atas bantuan yang disumbang oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menerusi Program Sinar Lestari YaPEIM.

Sumbangan disampaikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar di Kampung Surau di Utan Aji, Kangar.

Secara keseluruhan Program Sinar Lestar negeri Perlis ini berjumlah RM188,519. Ia membabitkan tujuh asnaf yang dibantu menerusi bantuan baik pulih rumah dan pembiayaan perniagaan.

Penerima bantuan termasuk Encik Mohd Syfulzal bin Sidek, 48, pengusaha produk perencah masakan jenama Shanz dari Kampung Surau; Encik Norazam bin Mat Isa, 46, pekerja perkhidmatan dan penyelenggaraan paip air dari Kampung Long Boh; Puan Rosliza binti Abdul Wain, 50, nelayan dari Kampung Panggas Besar; dan Encik Zairi bin Mat Saad, 44, buruh kerja rencam dari Kampung Nesam.

Juga menerima bantuan ialah Encik Wan Hasaruddin Hazahar bin Wan Mat, 42, mekanik motosikal dari Kampung Behor Gandil; Puan Sopiah binti Daud, 47, petani dari Kampung Semadong; dan Puan Hariah binti Mt Dad, 55, penjual makanan dari Kampung Tasoh.

Rata-rata penerima manfaat menerima bantuan serendah RM20,000 bagi baik pulih rumah dan RM2,000 bagi bantuan kelestarian perniagaan.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd Radzif bin Mohd Yunus dan Ketua Divisyen Sumber Dana YaPEIM, Puan Parihah binti Hasan.

YaPEIM melalui Program Sinar Lestari telah mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM10.6 juta membabitkan 240 buah projek bina baharu dan baik pulih kediaman di seluruh negara sejak Oktober 2020 hingga Februari tahun ini. Ia memberi manfaat kepada ratusan masyarakat miskin tegar dan keluarga berpendapatan rendah.

Sehingga kini, sebanyak 140 projek baik pulih dan 100 projek bina baharu telah dilaksanakan. Sejumlah 141 projek telah siap sementara baki 99 projek lagi dalam proses pembinaan.