21 April 2024 – Kunjungan kali pertama kami tiga hari sebelum menjelang Aidilfitri ke rumah Persatuan Sokongan Ibu & Anak Kurang Upaya (PSIAKU AZWAR) di Taman Batu Muda, Kuala Lumpur, disifatkan satu penghormatan buat penghuni di sana.
Manakan tidak, premis yang menjadi tempat teduhan buat anak-anak istimewa itu disantuni YaPEIM buat kali pertama untuk menerima sumbangan kelengkapan baju dan biskut raya.
Dua minggu berselang, YaPEIM sekali lagi hadir ke rumah yang dihuni 28 penghuni itu. Kali ini YaPEIM diketuai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Datuk Mohd Radzif bin Mohd Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed meraikan Aidilfitri bersama mereka sambil menyalurkan duit raya.
Majlis Ramah Mesra Aidilfitri YaPEIM 2024 bersama PSIAKU AZWAR itu turut disertai sebahagian ibu bapa kanak-kanak dan remaja kurang upaya.
YaPEIM menaja juadah hari raya, memberi duit raya kepada anak-anak istimewa dan kurang upaya serta menyalurkan bantuan kewangan kepada PSIAKU AZWAR yang kesemuanya berjumlah RM6,500.
Sebelum kami pulang, ada anak-anak di situ yang mengharapkan kami kembali semula melawat mereka. Wajah riang ketika menerima sampul duit raya itu pasti mereka ingati kami di YaPEIM.
Terima kasih kepada Pengerusi PSIAKU AZWAR, Puan Shaarah bin Othman, yang berbesar hati menerima kehadiran rombongan kami. Semoga Allah SWT memberi kekuatan dan ketabahan kepada puan dan rakan-rakan dalam menjaga anak-anak syurga berkenaan.