Dr. Zulkifli Hasan sampaikan amanat kepada warga agensi HEA

Putrajaya, 12 Januari 2026 – Selesai sudah Majlis Amanat YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama 2026 yang bertajuk Mengemudi Perubahan Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama dalam Era Pasca Normal.

Amanat yang disampaikan kepada kira-kira 900 kakitangan dan pegawai 14 agensi Hal Ehwal Agama itu memberi penekanan terhadap cara berfikir, amalan bekerja dan transformasi yang perlu dilakukan terhadap seluruh warga 14 agensi agama selepas ini.

Majlis ini menjadi wadah penting penyampaian hala tuju, aspirasi dan penegasan agenda pemerkasaan Hal Ehwal Agama bagi tahun 2026.

Amanat yang disampaikan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan di Auditorium JAKIM pada petang ini turut dihadiri 14 ketua-ketua agensi. Turut hadir Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama YB Senator Puan Marhamah binti Rosli.

YAPEIM diwakili Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Tuan Abdul Khudus bin Mohd Naaim dan Ketua Pengarah Tuan Haji Zabidi bin Nasan.

Terdahulu majlis dimulakan dengan sesi ceramah oleh Professor Dr. Syed Muhammad Khairuddin AlJunied dengan tajuk Lima Minda Muslim – Ke Arah Kemampanan Masa Depan Islam.

YB Senator Dr. Zulkifli kemudian turut meluncuran Kempen MADANI Membantu selain menandatangani Aku Janji di papan pintar yang turut disertai 14 ketua agensi.

YB Senator Dr. Zulkifli juga turut mengumumkan sumbangan keseluruhan RM135,000 kepada kelab/persatuan kebajikan 14 agensi Hal Ehwal Agama.

Semoga amanat yang disampaikan ini dapat menjadi pemangkin perubahan budaya kerja yang lebih progresif serta pencetus semangat kepada seluruh warga kerja 14 agensi Hal Ehwal Agama.