Mantin, 25 Jun 2026 – Penantian sekian lama untuk memiliki kediaman yang lebih selesa dan selamat akhirnya menjadi kenyataan buat Puan Aini Abdul Hamid, 60, apabila menerima sebuah rumah bina baharu bernilai RM80,000 menerusi Program Sinar Lestari YAPEIM.
Puan Aini yang mencari rezeki sebagai tukang jahit secara kecil-kecilan merupakan antara penerima manfaat daripada golongan B40 yang dikenal pasti memerlukan bantuan perumahan demi memastikan kehidupan lebih selesa dan selamat buat dirinya serta keluarga.
Penyerahan kediaman tersebut telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dr. Zulkifli Hasan dalam satu majlis yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan (PPNNS) Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Puan Mahila Sofina Mahmood serta Pemangku Ketua Divisyen Sumber Dana YAPEIM YM Tengku Idzmul Aziim Tengku Alang mewakili Ketua Pengarah YAPEIM.
Pelaksanaan projek ini merupakan hasil kerjasama strategik antara YAPEIM dan Pejabat Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan (PPNNS) dalam memastikan golongan yang memerlukan dapat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera menerusi penyediaan kediaman yang selamat, selesa dan kondusif.
Di sebalik sebuah rumah yang dibina, tersimpan sebuah harapan baharu. Program Sinar Lestari YAPEIM bukan sekadar menyediakan tempat berteduh malah menjadi titik permulaan kepada kehidupan yang lebih bermaruah dan berkualiti buat penerima manfaat serta keluarga mereka.
Sehingga Mei 2026, YAPEIM telah memperuntukkan lebih RM17 juta bagi melaksanakan 374 projek bina baharu dan baik pulih kediaman di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 33 projek telah dilaksanakan di Negeri Sembilan melibatkan enam projek bina baharu dan 27 projek baik pulih dengan nilai keseluruhan melebihi RM1.3 juta.
YAPEIM merakamkan penghargaan kepada para penyumbang Tabung Amanah YAPEIM yang terus menjadi penggerak kepada usaha memperkasa kehidupan masyarakat. Semoga setiap sumbangan yang dihulurkan terus membawa sinar harapan, kesejahteraan dan kebahagiaan kepada lebih ramai keluarga yang memerlukan.








