Skuad Ihsan MADANI Hal Ehwal Agama salur bantuan banjir di Terengganu

Kuala Terengganu, 3 Januari 2026 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), melalui Skuad Ihsan MADANI Hal Ehwal Agama, Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, telah menyantuni mangsa banjir di negeri Terengganu melibatkan 772 keluarga, 540 pelajar serta empat (4) institusi, dengan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM151,200.

Jumlah ini merupakan sebahagian daripada RM2.7 juta peruntukan di bawah Program Bantuan Pasca Bencana YAPEIM 2025.

Penyerahan bantuan tersebut, yang merupakan inisiatif Program Skuad Ihsan MADANI Hal Ehwal Agama, telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, dalam satu majlis yang berlangsung di SMK Padang Midin, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah YAPEIM, Tuan Haji Zabidi bin Nasan.

Melalui program ini, YAPEIM berperanan sebagai peneraju program bagi negeri Kelantan dan Terengganu, menggembleng keupayaan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (HEA) , Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Taqwa serta TV AlHijrah, terlibat secara langsung dalam misi bantuan banjir.

Hasil kerjasama ini, jumlah keseluruhan bantuan yang disalurkan di bawah Program Skuad Ihsan MADANI Hal Ehwal Agama kepada kumpulan sasar berjumlah RM341,500 untuk kali ini.

Bantuan yang disampaikan merangkumi bantuan asas makanan (foodbank), bantuan infrastruktur dan peralatan, bantuan Kembali ke Sekolah dalam bentuk tunai dan kelengkapan persekolahan, serta selimut dan comforter bagi meringankan beban mangsa banjir.

Sebelum ini, YAPEIM telah mengumumkan peruntukan keseluruhan RM2.7 juta bagi pelaksanaan Program Bantuan Pasca Bencana YAPEIM 2025, yang dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).