10 April 2025 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menaja lapan keping Dinar Emas yang keseluruhan berjumlah RM16,000 kepada bakal johan setiap kategori di Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat kebangsaan (MTHQK) tahun ini.
Gimik serahan cek cura disampaikan Pengurus Wilayah Utara Encik Mohd Fauzi bin Adnan kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar sambil disaksikan Menteri Besar Perlis YAB Tuan Mohd Shukri bin Ramli di Dewan Bankuet Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, hari ini.
Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Insan dan Sumber Manusia Perlis YB Tuan Muhammad Azmir bin Azizan dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee.
MTHQK dijadual berlangsung selama enam hari bermula 27 April hingga 2 Mei ini. Majlis dijangka berlangsung di Dewan 2020, Kangar, Perlis.
YAPEIM menaja lapan keping Dinar Emas keluaran YAPEIM GOLD Sdn Bhd dengan mutu 999 yang setiap satunya bernilai kira-kira RM2,000 kepada setiap pemenang.
Sebelum ini, YAPEIM selaku salah sebuah daripada 14 agensi di bawah YB Menteri Agama turut menaja hadiah kepada pemenang Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan tahun lalu.









