18 Mac 2025 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyalurkan sumbangan berjumlah RM88,000 bagi program Ramadan MADANI YAPEIM (RMY) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor, dan Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan.
Sumbangan ini memanfaatkan pelajar yang memerlukan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) serta pelajar sekolah menengah dan rendah.
Sejumlah RM43,500 diperuntukkan di Port Dickson bagi bantuan tunai YAPEIM Didik berjumlah RM100 seorang kepada 300 pelajar dan menaja majlis berbuka puasa berjumlah RM13,500 bagi 400 orang jemputan.
Majlis dihadiri Pengarah Kanan/Ketua Divisyen Kewangan YAPEIM Tuan Azhar bin Ahmad Zaki dan Pengarah Politeknik Port Dickson Tuan Haji Wan Zulkifly bin Wan Zakaria.
Sementara itu, di Johor Bahru, sejumlah RM44,500 disalurkan untuk meraikan para pelajar dalam Majlis Khatam Al-Quran, Iftar Perdana dan Program Ramadan MADANI YAPEIM. Ini termasuk sumbangan juadah berbuka puasa berjumlah RM14,500 dan bantuan YAPEIM Didik sebanyak RM30,000.
Hadir sama Naib Canselor UTM Johor Prof. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim dan Ketua Seksyen Kepimpinan Pemikiran YAPEIM Dr. Shamsul Azhar bin Yahya.
Sehingga kini program RMY telah menyantuni pelajar yang memerlukan di tujuh lokasi. Lima lokasi sebelum ini ialah di Politeknik Kota Kinabalu, Sabah, Universiti Malaya di Kuala Lumpur, IPG Kampus Sultan Mizan di Besut, Terengganu, Politeknik Jeli di Kelantan dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin di Arau, Perlis.












