7 April 2024 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) melalui Program Qaseh Madani YaPEIM menyumbang RM500,000 untuk kelengkapan baju raya yang dapat memanfaatkan 4,000 orang penerima.
Sumbangan yang dihulurkan itu menyasarkan agihan kepada anak-anak yatim, anak-anak asnaf dan B40 dan ketua keluarga miskin bagi membolehkan mereka menyambut syawal dengan ceria.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pengarah YaPEIM Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed berkata setiap baju raya untuk lelaki berupa baju Melayu dengan butangnya serta kain samping.
Program dianjur dengan kerjasama Persatuan Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (EXEC).
Edaran kelengkapan baju raya telah dimulakan di beberapa negeri sejak beberapa hari lalu dan dijangka selesai sebelum 1 Syawal ini, kata beliau di sesi serahan baju raya di Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Wangsa Maju YB Tuan Zahir bin Hassan, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Abdul Rashid Mokhtar dan Naib Presiden 1 EXEC Amir Hasrizal Yahaya.
Selepas itu, Tuan Haji Ameer Ali meluangkan masa melawat rumah Persatuan Sokongan Ibu & Anak Kurang Upaya Azwar Kuala Lumpur dan Selangor di Gombak dan menyerahkan sumbangan baju dan biskut raya kepada kakitangan dan anak-anak kurang upaya di rumah tersebut.
Sumbangan diterima pengerusinya, Puan Shaarah Othman yang berbesar hati menerima kehadiran rombongan YaPEIM, EXEC dan pegawai Pejabat YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Persatuan tersebut kini menjaga 28 orang anak-anak kurang upaya terlantar yang memerlukan penjagaan rapi memandangkan rata-rata dalam kalangan mereka tidak mampu berdikari dan menguruskan diri dengan sendiri.