29 Jun 2024 – YaPEIM bersama Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah (PERKIPS) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dalam menjayakan inisiatif perkongsian pintar membabitkan Program Rakan Strategik Infaq (RSI) YaPEIM.
Majlis Menandatangani MoU antara YaPEIM dan PERKIPS berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, malam tadi.
Kerjasama dua hala ini disifatkan bakal menguntungkan kedua belah pihak terutama mampu memanfaatkan warga PERKIPS dari segi agihan sumbangan yang dilakukan menerusi program RSI YaPEIM.
Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YaPEIM, Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed dalam ucapannya berkata, sokongan yang diberikan oleh warga PERKIPS terutama dari segi sumbangan yang disalurkan membolehkan pelbagai aktiviti amal jariah dilakukan YaPEIM.
Beliau berharap kerjasama ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa sekali gus lebih ramai penerima manfaat dapat disantuni.
Untuk rekod YaPEIM telah menjalinkan kerjasama dengan PERKIPS sejak 2003 membabitkan 2,239 penyumbang dan sehingga kini jumlah terkumpul keseluruhan kutipan sumbangan yang diterima daripada warga PERKIPS adalah hampir RM3 juta.
Sehingga kini YaPEIM juga telah menyalurkan sumbangan balas kepada PERKIPS dengan jumlah keseluruhan hampir RM1.5 juta.