YAPEIM Bantu Peniaga Pakaian, Bina Rumah Berjumlah RM85,000

KUALA PILAH, 8 Mei 2025 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) mengambil inisiatif membantu membina rumah peniaga pakaian yang merupakan penerima manfaat kategori eKasih Negeri Sembilan bernilai RM80,000 di Juasseh Tengah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Inisiatif di bawah Program Sinar Lestari YAPEIM ini dilakukan dengan kerjasama strategik Pejabat Pembangunan Negeri Negeri Sembilan (PPNNS), Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) bagi pemilhan dan pengesahan penerima manfaat, manakala pembinaan rumah dilaksanakan oleh YAPEIM Holdings Sdn. Bhd. yang memberi manfaat kepada Puan Zuhaimah binti Akob, 51.

Sesi serahan rumah Puan Zuhaimah telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Encik Khairul Faiz bin Morat @ Abd Morat di sini, hari ini.

Kerja-kerja pembinaan rumah Puan Zuhaimah mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan dan telah dimulakan sejak 26 Disember 2024 serta siap sepenuhnya pada 25 Februari 2025. Pemilihan dan pengesahan penerima manfaat kategori eKasih ini telah dilakukan oleh PPNNS, ICU JPM pada 3 Ogos 2024. Dalam masa sama, YAPEIM turut menyediakan pakej bantuan kelestarian perniagaan sehingga RM5,000 dalam bentuk sokongan perniagaan kepada beliau.

Turut hadir Pengarah/Ketua Divisyen Perkhidmatan YAPEIM Encik Muhamad Khairul Anuar bin Ibrahim dan wakil Pejabat Pembangunan Negeri Negeri Sembilan PPNNS, ICU JPM.

Harapan, Program Sinar Lestari YAPEIM di Negeri Sembilan ini dapat memberi keceriaan kepada penerima manfaat selepas memperoleh kediaman yang lebih selesa daripada sumbangan masyarakat yang disalurkan kepada Tabung Amanah YAPEIM.

Program Sinar Lestari YAPEIM telah dilancar pada tahun 2020 dan sehingga Januari 2025, YAPEIM telah memperuntukkan RM13.5 juta membabitkan 293 buah projek bina baharu dan baik pulih kediaman di seluruh negara. Sebanyak 167 projek baik pulih dan 126 projek bina baharu telah dilaksanakan dengan 208 projek telah siap sementara baki 85 projek sedang dalam proses pembinaan. Secara khususnya, di Negeri Sembilan sahaja melibatkan 29 projek dengan lima projek bina baharu dan 24 projek baik pulih dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM1.13 juta.

Secara keseluruhan sejak tahun 1985 hingga Disember 2024, YAPEIM telah mengagihkan sebanyak RM725 juta kepada 14 juta penerima manfaat di seluruh negara membabitkan tiga teras YAPEIM iaitu pembangunan ekonomi Islam, pembangunan pendidikan dan pembangunan kemasyarakatan.