YAPEIM Anjur PPKY ke-13, Salur RM235,000 Kepada Masyarakat Memerlukan

SEREMBAN, 8 Mei 2025 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menganjurkan Projek Pembangunan Komuniti YAPEIM (PPKY) peringkat Negeri Sembilan dan menyalurkan sumbangan berjumlah RM150,000 bagi membantu masyarakat memerlukan di Masjid Jamek Dato’ Klana Petra Sendeng, Ampangan, di sini, hari ini.

PPKY yang dianjurkan ini merupakan projek yang ke-13 telah dilaksanakan YAPEIM sejak ia pertama kali dimulakan pada Februari 2023 di Masjid Jamek Kampong Bharu, Kuala Lumpur.

Majlis serahan sumbangan dan perasmian PPKY disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Tuan Abdul Khudus bin Mohd Naaim. Hadir sama Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Haji Zabidi bin Nasan.

Bantuan PPKY yang memanfaatkan kumpulan sasar di Negeri Sembilan itu berupa sumbangan bantuan makanan kepada 100 orang penerima yang keseluruhan berjumlah RM10,000; sumbangan bantuan musibah/bencana kepada 10 keluarga yang keseluruhan berjumlah RM5,000; sumbangan bantuan kewangan Pendidikan kepada 150 orang pelajar yang keseluruhan berjumlah RM15,000; sumbangan kepada Masjid Jamek Dato’ Klana Petra Sendeng berupa bantuan peralatan dan infra berjumlah RM5,000 dan sumbangan bagi penganjuran majlis keraian dan kemasyarakatan berjumlah RM25,000.

YAPEIM turut memperuntukan sumbangan usaha sama strategik kepada Pejabat Pembangunan Negeri Sembilan (PPNS), Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) berjumlah RM90,000 bagi mengenal pasti tiga calon penerima yang layak untuk dipertimbangkan bantuan baik pulih premis perniagaan Program Sinar Lestari YAPEIM.

Dalam masa sama, YAPEIM turut menyerahkan sebuah rumah bina baharu kepada penerima manfaat kategori keluarga miskin eKasih menerusi Program Sinar Lestari YAPEIM berjumlah RM80,000 dan menyediakan pakej bantuan kelestarian perniagaan sehingga RM5,000 dalam bentuk sokongan perniagaan kepada beliau. Penerima manfaat berkenaan adalah Puan Zuhaimah binti Akob, 51, peniaga pakaian dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan menerima kunci rumah yang disampaikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Encik Khairul Faiz bin Morat @ Abd Morat.

Program PPKY yang mengambil masa selama tiga tahun ini merupakan satu pendekatan yang holistik dalam menyantuni masyarakat atau komuniti setempat dengan pelaksanaan aktiviti dan pemantauan yang berterusan yang merangkumi pembangunan ekonomi/keusahawanan, bantuan pendidikan dan bantuan kemasyarakatan. Sehingga kini PPKY telah menyantuni masyarakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Pahang, Melaka, Sabah, Perak, Sarawak, Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Perlis.

Secara keseluruhan sejak tahun 1985 hingga Disember 2024, YAPEIM telah mengagihkan sebanyak RM725 juta kepada 14 juta penerima manfaat di seluruh negara membabitkan tiga teras YAPEIM iaitu pembangunan ekonomi Islam, pembangunan pendidikan dan pembangunan kemasyarakatan.

YAPEIM juga mempunyai operasi pembiayaan mikro melalui Ar-Rahnu YAPEIM yang mempunyai 203 cawangan di seluruh negara. Antara lainnya, perkhidmatan ini memberi peluang kepada peniaga atau usahawan kecil untuk mendapatkan pembiayaan jangka pendek bagi menyelesaikan isu berkaitan modal kerja mereka. Secara keseluruhan Ar Rahnu YAPEIM telah menyantuni seramai hampir 1 juta orang penggadai dengan nilai pembiayaan berjumlah RM17.5 bilion yang melibatkan nilai marhun berjumlah RM26.9 bilion sejak tahun 2000 sehingga Mac 2025.