Slim River, 6 Januari : Warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menzahirkan rasa bertuah selepas menerima suntikan bantuan dana pendidikan berjumlah RM966,000 sejak September 2020.
Bantuan ini merupakan pelaksanaan tanggungjawab Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dalam usaha mendokong hasrat melahirkan golongan intelektual dalam kalangan generasi belia menerusi Bantuan Pendidikan Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, usaha yang dilaksanakan YaPEIM ini bermula sejak 2016 sehingga kini dan sudah membantu mahasiswa terutamanya terdiri daripada keluarga golongan B40 yang mempunyai masalah pembiayaan pendidikan.
“Majoriti penuntut di UPSI datang daripada kumpulan keluarga B40 dan bantuan dana pendidikan seumpama ini sekaligus mampu memberi suntikan motivasi kepada mereka untuk menjadi lebih cemerlang.
“Menerusi usaha ini, dijangkakan RM40 juta sumbangan dapat memberi manfaat kepada kira-kira 40,000 penuntut institusi pendidikan di seluruh negara, ” katanya ketika hadir pada Majlis Penyerahan ‘Mock Cheque’ Bantuan Pendidikan Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) di Universiti Pendidikan Sultan Idris di sini.
Majlis sama turut dihadiri Pemangku Ketua Pengarah YAPEIM, Parihah Hasan dan Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.
Sementara itu, Dr Mohammad Shatar memaklumkan, bantuan ini sekaligus dapat membantu lebih 1, 932 penuntut UPSI dengan nilai bantuan mencecah RM1 juta.
“Semoga bantuan ini dapat merealisasikan impian kami dalam melahirkan 70 peratus mahasiswa untuk menjadi bakal pelapis golongan pendidik dalam negara,” katanya.