Projek Sinar Lestari YaPEIM, beri keceriaan kepada peniaga bahulu

“Sejak saya kecil saya sudah tinggal dan menetap di sini (Kampung Jarau, Pekan). Boleh dikatakan setiap tahun rumah saya akan dinaiki air akibat banjir. Apabila banjir berlaku saya dan keluarga pasti akan berpindah ke pusat perpindahan sementara.

“Alhamdulillah selepas memiliki rumah baharu hasil sumbangan pihak YaPEIM dan MUIP ini kerisauan saya terhadap rumah yang akan ditenggelami air berkurang kerana ia dibina di kawasan yang lebih tinggi dan selamat.”

Itu luahan yang dikongsikan Puan Normala Mustafar, 44, selepas secara rasmi menerima rumah hasil Projek Sinar Lestari YaPEIM yang diserahkan sendiri Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, YB Senator Dato Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, di Kampung Jarau, Pekan hari ini.

Kerja-kerja pembinaan rumah Puan Normala telah dimulakan pada 17 Mei 2023 dan siap sepenuhnya pada 6 September 2023.

Pembinaan rumah berkenaan menelan belanja RM74,735 membabitkan RM60,000 disumbangkan pihak YaPEIM dan selebihnya mendapat pembiayaan dan kerjasama pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang turut bertanggungjawab dalam memilih Puan Normala selaku asnaf yang layak dibantu.

Selain bekerja sebagai tukang bersih di sebuah sekolah, Puan Normala yang mengusahakan produk bahulu gulung bersama suaminya turut menerima bantuan keusahawanan daripada YaPEIM berjumlah RM3,000 berupa bantuan pembelian peralatan dan tunai.

Sesi serahan turut diwakili Ketua Divisyen Perniagaan Kumpulan YaPEIM, Tuan Haji Awang@Musran bin Tawil.