20 Mac 2025 – Program Ramadan MADANI YAPEIM lewat petang ini menyantuni penerima-penerima di tiga lokasi iaitu Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak dan UniKL British Malaysian Institute (BMI) di Gombak, Selangor.
Program anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) ini menyalurkan sumbangan berjumlah RM137,000 kepada pelajar yang memerlukan.
Di IPK KL, sejumlah RM47,000 diperuntukkan bagi bantuan tunai YAPEIM Didik berjumlah RM20,000 kepada 200 pelajar, sumbangan Aidilfitri kepada 100 warga PDRM berjumlah RM10,000 serta penajaan majlis berbuka puasa untuk 400 orang.
Majlis dihadiri Ketua Polis Kuala Lumpur CP Dato’ Rusdi bin Mohd Isa, Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Ameer Ali bin Vali Mohamed dan Ketua Divisyen Pembangunan Sosioekonomi Tuan Muhamad Khairul Anuar bin Ibrahim.
Sementara itu, di UPSI dan BMI, YAPEIM menyalurkan sumbangan masing-masing berjumlah RM45,000 yang membabitkan sumbangan YAPEIM Didik berjumlah RM30,000 kepada 300 pelajar, serta tajaan majlis berbuka puasa.
Majlis di UPSI dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Prof. Dr. Norkhalid bin Salimin dan Pengarah/Ketua Divisyen Undang-Undang dan Kesetiausahaan YAPEIM Puan Siti Salwa binti Mawardee.
Di UniKL BMI pula, Dekan UniKL British Malaysian Institute Ts. Dr. Zulkifli bin Mahmoodin dan Pengarah/Ketua Divisyen Sumber Daya Insani dan Perkhidmatan YAPEIM Tuan Nik Azlan bin Nik Abdullah hadir.
Sehingga hari ini, program RMY telah diadakan di 14 lokasi di seluruh negara bagi menyantuni mereka yang memerlukan terutama dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) serta pelajar sekolah menengah dan rendah.









