Shah Alam, 10 Jun – Sekolah Kebangsaan Subang telah dipilih untuk melaksanakan Program Infak Korban Al Falah YAPEIM 2025 bagi pengagihan sumbangan bersempena sambutan Aidiladha kali ini.
Sumbangan berupa dua ekor lembu korban telah diserahkan untuk diagih kepada penerima manfaat yang telah dikenalpasti oleh pihak sekolah.
Agihan sumbangan telah disempurnakan oleh Tuan Haji Ir. Shatiri bin Mansor, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM.
Turut hadir bersama ialah En Sulaiman bin Dot, Guru Besar SK Subang dan Dato’ Mejar (PA)(K) Haji Karim bin Haji Kasnan, YDP PIBG SK Subang.
Program dimulakan dengan upacara penyembelihan lembu korban diikuti dengan proses melapah, memotong daging, membungkus dan seterusnya menyediakan jamuan rakyat secara gotong-royong oleh warga kerja SK Subang.
Pada tahun ini, YAPEIM memperuntukkan sejumlah RM1 juta bagi Program Infak Korban Al Falah YAPEIM 2025 dengan memberi manfaat kepada lebih 60,000 penerima dalam kalangan kumpulan sasar yang terdiri daripada B40, asnaf dan miskin termasuk golongan yang memerlukan di seluruh negara.
Program ini dilaksanakan di 134 lokasi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dengan melibatkan sebanyak 143 ekor lembu untuk sembelihan korban.
Pelaksanaan program ini turut melibatkan kerjasama strategik bersama beberapa agensi kerajaan seperti hospital dan sekolah, masjid serta pertubuhan NGO bagi memastikan agihan daging korban dilaksanakan dengan lebih menyeluruh, sistematik dan menyentuh lebih ramai penerima manfaat.
Terima kasih diucapkan kepada semua penyumbang Tabung Amanah YAPEIM kerana melalui sumbangan yang diterima dapatlah YAPEIM melaksanakan pelbagai program yang bermanfaat termasuk program ini.









