Kuala Lumpur, 9 Jun – Polis Bantuan Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah dipilih bagi melaksanakan Program Infak Korban Al-Falah YAPEIM 2025 bagi pengagihan sumbangan bersempena sambutan Aidiladha kali ini.
Sumbangan berupa seekor lembu korban telah diserahkan untuk diagih kepada 105 penerima manfaat yang telah dikenal pasti oleh pihak polis bantuan.
Agihan sumbangan telah disempurnakan oleh En. Azli bin Abdullah Ketua Seksyen Pengurusan Wilayah YAPEIM.
Turut hadir bersama ialah En. Kamalazira bin Pauzi Timbalan Pengarah Pengurusan HKL, Dr. Hjh Shahrum binti Ismail Timbalan Pengarah Perubatan 1 dan En. Mohd Sanusi bin Abdul Rahman Ketua Cawangan Keselamatan HKL.
Program dimulakan dengan upacara penyembelihan lembu korban diikuti dengan proses melapah, memotong daging, membungkus dan seterusnya menyediakan jamuan rakyat secara gotong-royong oleh warga kerja polis bantuan.
Pada tahun ini, YAPEIM memperuntukkan sejumlah RM1 juta bagi Program Infak Korban Al-Falah YAPEIM 2025 dengan memberi manfaat kepada lebih 60,000 penerima dalam kalangan kumpulan sasar yang terdiri daripada B40, asnaf dan miskin termasuk golongan yang memerlukan di seluruh negara.
Program ini dilaksanakan di 134 lokasi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dengan melibatkan sebanyak 143 ekor lembu untuk sembelihan korban.
Pelaksanaan program ini turut melibatkan kerjasama strategik bersama beberapa agensi kerajaan seperti hospital dan sekolah, masjid serta pertubuhan NGO bagi memastikan agihan daging korban dilaksanakan dengan lebih menyeluruh, sistematik dan menyentuh lebih ramai penerima manfaat.
Terima kasih diucapkan kepada semua penyumbang Tabung Amanah YAPEIM kerana melalui sumbangan yang diterima dapatlah YAPEIM melaksanakan pelbagai program yang bermanfaat termasuk program ini.








