Pejabat YB Menteri HEA santuni anak yatim, warga media dalam majlis iftar

26 Mac 2024 – Kira-kira 100 anak yatim dan warga media diraikan dalam majlis Iftar YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Bersama Media 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Majlis anjuran bersama YaPEIM dan Yayasan Waqaf Malaysia itu turut menyalurkan sumbangan secara keseluruhan berjumlah RM7,500 kepada anak-anak yatim di Rumah Pengasih Warga Prihatin di Kajang, Selangor.

Simbolik penyerahan cek cura disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr Zulkifli bin Hasan yang mewakili YB Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YaPEIM Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia Dr Ridzwan bin Bakar serta ketua-ketua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

YB Senator Dr Zulkifli turut meluangkan masa beramah mesra bersama warga media yang hadir dan menzahirkan penghargaan atas peranan yang dimainkan mereka dalam menyalurkan maklumat yang tepat kepada masyarakat.