PUTRAJAYA, 7 Julai 2024 – Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H / 2024M telah diadakan pada pagi ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah berkenan berangkat bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke majlis ini. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim dan isteri.
Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Mokhtar, Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama). Manakala penerima anugerah tokoh telah diumumkan oleh YBhg. Datin Paduka Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Ketua Pengarah JAKIM.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pula berkenan menyampaikan ucapan dan seterusnya Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah 1446H/2024M.
Sekalung tahniah diucapkan kepada mantan Mufti Pulau Pinang (1997-2014) Dato’ Seri Haji Hassan bin Haji Ahmad dan Presiden Kesatuan Ulama Dunia Prof. Dr. Ali Muhyiddin Ali Qaradaghi atas penganugerahan tersebut masing-masing untuk peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Seramai 6,000 hadir ke majlis ini dan kontinjen YaPEIM diwakili oleh 40 orang warga kerja yang segak dan cantik mengenakan busana tradisional Melayu berwarna biru firus yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif/ Ketua Pengarah YaPEIM, Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed.
Sambutan Ma’al Hijrah pada tahun ini bertemakan ‘Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI’. Konsep Al-Falah yang diterapkan dalam tema Ma’al Hijrah 1446H/2024M penting bagi menjamin keberhasilan masyarakat untuk manfaat yang lebih besar kepada bangsa, agama dan negara.