Ketua Pengarah YAPEIM dirai dalam Majlis Perpisahan “Sekalung Budi, Sejambak Kasih”
10 April 2025 – YAPEIM hari ini meraikan Ketua Pengarah YAPEIM, Tuan Ameer Ali bin Vali Mohamed dalam Majlis Perpisahan “Sekalung Budi, Sejambak Kasih” bertempat di Ibu Pejabat YAPEIM di Ochre @ Alamanda, Putrajaya.
Majlis yang berlangsung dengan suasana penuh rasa hormat dan syukur ini turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Tuan Abdul Khudus bin Mohd Naaim.
Ketua Pengarah dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada seluruh warga kerja YAPEIM atas kerjasama dan komitmen sepanjang tempoh perkhidmatannya. Beliau juga mendoakan agar YAPEIM terus maju jaya serta mengajak seluruh warga YAPEIM untuk memberi sokongan dan dokongan penuh kepada Ketua Pengarah baharu.
Majlis turut diserikan dengan deklamasi sajak oleh staf YAPEIM dan tayangan video khas memaparkan perjalanan, pencapaian dan kenangan manis sepanjang tempoh kepimpinan beliau telah menyentuh hati para hadirin.
Sebagai tanda kenang-kenangan, sesi serahan cenderamata turut diadakan bagi meraikan jasa dan bakti Ketua Pengarah sepanjang perkhidmatan beliau. Serahan tersebut melambangkan rasa terima kasih yang mendalam daripada seluruh warga kerja YAPEIM terhadap kepimpinan beliau yang penuh dedikasi dan berwibawa.
Majlis ini bukan sahaja menjadi simbol perpisahan, malah menjadi pengerat hubungan kekeluargaan dan penghargaan kepada seorang tokoh yang telah membawa YAPEIM ke tahap lebih tinggi. Semoga perjalanan Ketua Pengarah YAPEIM selepas ini sentiasa diberkati dan terus berjaya dalam apa jua lapangan yang diceburi.












