KeSSKY dan Etiqa Bike Club anjur Jelajah Ride Iftar 2024

Kelab Sukan, Sosial dan Kebajikan YaPEIM (KeSSKY) dengan kerjasama Etiqa Bike Club buat pertama kalinya anjur program Jelajah #RideIftar 2024 sepanjang Ramadan tahun ini.

Majlis pelepasan bagi zon tengah iaitu dari Petaling Jaya ke Sabak Bernam telah disempurnakan bersama oleh Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YaPEIM dan Encik Ibrahim Jaafar, Pengerusi Motorcycle Committe di ibu pejabat YaPEIM, Petaling Jaya.

Sejumlah 100 peserta terdiri daripada warga kerja YaPEIM dan ahli Etiqa Bike Club menyertai siri jelajah zon tengah ini dengan jarak perjalanan 130km yang mengambil masa dua jam.

Peserta jelajah menyantuni Asrama Kebajikan Anak Yatim Miskin Sekendi di Sabak Bernam, Selangor. Asrama ini mempunyai 18 orang pelajar terdiri daripada 5 lelaki dan 13 perempuan serta 7 kakitangan asrama.

Antara aktiviti ialah gotong-royong membersihkan kawasan asrama dan surau. Para peserta juga turut beriftar dan bertarawih bersama anak-anak pelajar asrama.

Selain itu, KeSSKY juga turut menyumbang barangan kelengkapan asrama dan wang tunai kepada anak-anak pelajar asrama.

Jelajah #RideIftar 2024 ini akan menjelajah ke 3 zon lagi sepanjang Ramadan ini, iaitu zon utara di Baling, zon selatan di Johor Bahru dan zon timur di Marang.