JERTIH, 5 JULAI 2025 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyalurkan sumbangan berjumlah RM45,000 di bawah Program YAPEIM Prihatin kepada semua mangsa nahas tragedi kemalangan bas di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak pada 9 Jun lepas.
Melalui pelaksanaan Program Ziarah MADANI PEDULI pada hari ini, sejumlah RM10,000 telah disumbangkan kepada 5 orang pelajar yang mengalami kecederaan dan waris keluarga yang terkorban berjumlah RM1,000 setiap pelajar. YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menzahirkan rasa sedih atas ujian kepada keluarga dan pelajar terlibat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa yang terlibat di sekitar daerah Besut hari ini.
Turut hadir dalam kunjungan ziarah ini ialah Ketua Pengarah YAPEIM, Tuan Haji Zabidi Nasan dan wakil daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Dalam kejadian 9 Jun lalu, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas dinaiki dari Jertih, Terengganu ke kampus utama di Tanjung Malim, terbalik selepas terbabit dalam pelanggaran dengan sebuah kereta Perodua Alza di laluan JRTB. Kemalangan turut menyebabkan 33 individu cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.
Program YAPEIM Prihatin adalah program berteraskan kemasyarakatan bertujuan membantu masyarakat yang memerlukan merangkumi pelbagai aktiviti dan bantuan termasuk sumbangan kewangan, makanan dan keperluan asas kepada keluarga dan individu yang terjejas. YAPEIM secara keseluruhan sejak tahun 1985 hingga 2024, YAPEIM telah mengagihkan sebanyak RM717.8 juta kepada 9.9 juta penerima manfaat di seluruh negara membabitkan tiga teras YAPEIM iaitu pembangunan ekonomi islam, pembangunan pendidikan dan pembangunan kemasyarakatan.
YAPEIM berharap bantuan dan program-program seumpama ini dapat memberi manfaat dan nilai tambah dalam kehidupan para penerima manfaat.
Jutaan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada penyumbang Tabung Amanah YAPEIM yang sudi berinfak sekali gus membolehkan program bermanfaat seperti Program YAPEIM Prihatin ini dapat dilaksanakan.
Muat turun di sini : https://www.yapeim.my/wp-content/uploads/2025/07/wp-1751726701694.pdf