Aidilfitri MADANI YAPEIM Sumbang RM91,000 di UiTM Machang, Kelantan dan KPTM Kuantan, Pahang

24 April 2025 – YAPEIM menyalurkan sumbangan berjumlah RM91,000 bagi menyantuni mereka yang memerlukan di dua lokasi iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang di Kelantan dan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kuantan di Pahang. Sejumlah RM45,500 masing-masing disumbangkan di dua lokasi tersebut.

Di UiTM Machang, bantuan yang disalurkan berupa sumbangan Sinar Kasih iaitu bantuan Aidilfitri kepada 100 penerima manfaat berjumlah RM10,000; sumbangan pembangunan pendidikan berjumlah RM10,000 kepada 100 pelajar; sumbangan Aidilfitri kepada tiga institusi berjumlah RM5,000; sumbangan pembangunan ekonomi latihan/tunjuk ajar kepada usahawan berjumlah RM5,000; dan majlis jamuan keraian Aidilfitri dan kemasyarakatan berjumlah RM15,500.

Majlis ini dihadiri Pengarah/Ketua Divisyen Perkhidmatan Korporat YAPEIM Tuan Nik Azlan bin Nik Abdullah dan Rektor UiTM Cawangan Kelantan Prof. Dr. Mohd Afandi bin Mat Rani.

Sementara itu di KPTM Kuantan, sumbangan merangkumi Bantuan Pendidikan iaitu bantuan Aidilfitri berjumlah RM10,000 kepada 100 pelajar; sumbangan Aidilfitri kepada 50 keluarga berjumlah RM10,000; sumbangan Aidilfitri kepada dua institusi berjumlah RM5,000; sumbangan institusi (pembangunan kapasiti) berjumlah RM5,000; dan majlis keraian Aidilfitri dan kemasyarakatan berjumlah RM15,500.

Turut hadir Ketua Seksyen Pendanaan Korporat & Jalinan Strategik YAPEIM Tengku Idzmul Aziim bin Tengku Alang dan Pengurus Kanan, Pegawai Yang Menjalankan Tugas Timbalan Pengarah Bahagian Operasi KPTM Kuantan Tuan Khuirauni bin Ahmad.

Sehingga hari ini, program Aidilfitri MADANI YAPEIM telah diadakan di enam negeri bagi menyantuni mereka yang memerlukan.