YAPEIM salur RM80,000, bantu pelajar di lima negeri

5 April 2026 – YAPEIM terus komited membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan menerusi Majlis Serahan Sumbangan Aidilfitri yang dilaksanakan di lima negeri dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM80,000.

Sebanyak RM16,000 diperuntukkan bagi setiap lokasi di Terengganu, Kelantan, Sarawak, Sabah dan Kedah, merangkumi bantuan tunai Aidilfitri serta peruntukan keraian Aidilfitri.

Di Terengganu, majlis yang berlangsung di Ar Rahnu YAPEIM Cawangan Kuala Terengganu telah disempurnakan oleh Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Nerus, Puan Hajah Wan Salmah binti Wan Hamat. Turut hadir Pengurus YAPEIM Negeri Terengganu, Puan Kartina binti Ahmad.

Sementara itu, di Kelantan, penyerahan sumbangan telah diadakan di Ar Rahnu YAPEIM Wakaf Bharu dan disampaikan oleh Pengurus YAPEIM Negeri Kelantan, Puan Che Nor Azila binti Che Ghani.

Di Sarawak, majlis berlangsung di Masjid Al-Muttaqin, Sarikei dengan penyampaian sumbangan oleh Pengurus YAPEIM Negeri Sarawak, Encik Fadlie bin Zamuri.

Bagi Sabah, program diadakan di Masjid Daerah Putatan dan sumbangan telah disampaikan oleh Pengurus YAPEIM Negeri Sabah, Encik Selabi bin Mohammad. Manakala program di Kedah bagi Ar Rahnu YAPEIM Pokok Sena telah disempurnakan oleh Pengurus Sumber Dana YAPEIM Negeri Kedah & Perlis, Encik Mohd Nazir bin Ibrahim.

Pelaksanaan Serahan Sumbangan Aidilfitri ini merupakan hasil kerjasama bersama Koperasi YAPEIM Berhad yang melibatkan 192 lokasi di seluruh negara.

Inisiatif ini diharap dapat meringankan beban pelajar yang memerlukan, sekali gus menceriakan sambutan Aidilfitri mereka.