22 April 2025 – Pejabat Pentadbiran YAPEIM Negeri (PPYN) Pulau Pinang hari ini mengadakan Sambutan Aidilfitri MADANI YAPEIM Peringkat Negeri Pulau Pinang di PERDA Convention Centre, Kubang Menerong, Pulau Pinang dengan suasana meriah.
Program kerjasama dengan KEMAS Negeri Pulau Pinang ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah mewakili YBhg. Datuk Haji Musa Sheikh Fadzir Pengerusi JKDM Negeri Pulau Pinang.
Beliau yang hadir pada majlis tersebut turut menyempurnakan program serahan sumbangan berjumlah RM46,000 bagi program Aidilfitri MADANI YAPEIM Peringkat Negeri Pulau Pinang dan RM20,000 bagi Negeri Perak yang turut serta dalam majlis tersebut.
Bantuan yang disalurkan berupa sumbangan Bantuan Pendidikan iaitu bantuan Aidilfitri (Pelajar) kepada 200 pelajar tabika KEMAS yang keseluruhan berjumlah RM10,000; sumbangan Aidilfitri (Keluarga) kepada 50 keluarga yang keseluruhan berjumlah RM10,000; manakala sumbangan Aidilfitri (Institusi) kepada empat institusi berjumlah RM5,000; serta sumbangan Institusi (Pembangunan Kapasiti) berjumlah RM5,000 kepada Masjid Al-Qahhar, Permatang Damar Laut dan majlis keraian Aidilfitri dan kemasyarakatan berjumlah RM16,000.
Beliau turut memberi sumbangan Aidilfitri (Pelajar) kepada 100 pelajar yang berjumlah RM10,000; dan sumbangan Aidilfitri (Keluarga) kepada 50 keluarga yang berjumlah RM10,000 kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kerian, Perak.
Majlis turut dihadiri oleh Puan Siti Salwa binti Mawardee, Pengarah / Ketua Divisyen Projek Khas 2, Tuan Kamarul Bahari bin Mohd Salleh Pengarah KEMAS Pulau Pinang serta Encik Mohd Fauzi bin Adnan Pengurus Wilayah YAPEIM Utara.
Program Aidilfitri MADANI YAPEIM dianjur bertujuan menyantuni dan menyasarkan penerima manfaat Program Pembangunan Keusahawanan, Kemasyarakatan dan Pendidikan YAPEIM di samping menjadi medan terbaik dalam mempromosi dan memperkenalkan YAPEIM khususnya penyumbang baharu dan sedia ada kepada skim-skim infak YAPEIM.
Ia juga mempunyai objektif untuk memperkukuh lagi hubungan korporat dan sosial antara YAPEIM dan rakan strategik YAPEIM, menyediakan ruang dan peluang kepada masyarakat terutama badan korporat untuk bersama YAPEIM dan juga membantu usahawan dalam mengembalikan sumber pendapatan melalui pembekalan bantuan kepada penerima manfaat.







