14 guru pakar hasilkan video pembelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah

5 Jun 2024 – Seramai 14 guru pakar masing-masing bagi subjek Sejarah dan Bahasa Melayu telah menghasilkan 56 video (30 Sejarah) dan (26 Bahasa Melayu) yang dapat memanfaatkan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2024.

Penghasilan video yang dijayakan dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bermula pada 26 Mei 2024 sehingga 2 Jun 2024 telah diadakan di sebuah hotel di ibu negara.

Bengkel Pemurnian Modul Pembelajaran dan Video Inspirasi Pendidikan YaPEIM itu merupakan salah satu insiatif YaPEIM dan guru-guru pakar dalam membantu calon SPM cemerlang dalam subjek Sejarah dan Bahasa Melayu.

YaPEIM sebelum ini sudah memulakan inisiatif Modul Inspirasi Pendidikan YaPEIM sejak 2016 yang memanfaatkan murid sekolah rendah sebelum ianya diperluaskan kepada calon SPM hingga kini.

Selain penghasilan video informatif, guru-guru pakar ini dijangka akan menghasilkan modul buku meliputi soalan ramalan dan soalan peperiksaan SPM lepas yang dijangka akan diedarkan dalam masa terdekat.