YB Menteri agama, YaPEIM santuni gelandangan di Chow Kit

16 April 2023 – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar meluangkan masa kira-kira sejam menyantuni kumpulan gelandangan dan menyalurkan sumbangan duit raya berjumlah RM10,000 disumbangkan pihak YaPEIM kepada 200 penerima di sekitar Chow Kit, semalam.

Program yang bermula pada 10.30 malam itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YaPEIM Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya. Turut hadir penulis veteran Mohd Sayuti Omar.

Rata-rata penerima dalam kalangan gelandangan menzahirkan kesyukuran atas sumbangan duit raya RM50 seorang yang diterima dan terharu kerana masih ramai yang sudi membantu mereka terutama di bulan Syawal yang mulia ini.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Pertubuhan Kebajikan Prihatin Insan Kuala Lumpur dan Selangor.