YaPEIM taja bar emas sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan

11 Mei 2024 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menaja bar emas berjumlah RM16,000 kepada bakal johan setiap kategori di Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat kebangsaan (MTHQK) tahun ini.

Gimik serahan cek cura disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YaPEIM Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed kepada Menteri Besar Pahang YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail sambil disaksikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar di sebuah hotel di Kuantan, hari ini.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datin Paduka Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff.

MTHQK dijadual berlangsung selama enam hari bermula 23 hingga 28 Mei ini. Majlis dijangka berlangsung di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang.

YaPEIM akan menaja lapan keping bar emas dengan mutu 999 yang setiap satunya bernilai kira-kira RM2,000 kepada setiap pemenang.

Sebelum ini, YaPEIM selaku salah sebuah daripada 14 agensi di bawah YB Menteri Agama turut menaja hadiah kepada pemenang Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa tahun lalu.