Kuala Lumpur, 25 November : Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bersama SME Bank memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi jalinan kerjasama membantu lebih ramai usahawan Asnaf meningkatkan kemahiran dan kebolehan mereka untuk mengembangkan dan mengekalkan perniagaan masing-masing dengan menggunakan teknologi digital.
Satu program yang dinamakan Program pembangunan usahawan Asnaf 2.0 atau ISHRAF 2.0 itu melibatkan usahawan Asnaf dari enam buah negeri iaitu Perlis, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Tuan Haji Idris Haji Ahmad berkata, RM10,000 diberikan kepada setiap 79 peserta yang terpilih mengikuti program tersebut bagi membantu mereka mengembangkan modal perniagaan sedia ada serta bagi tujuan pembangunan perniagaan.
Katanya, jumlah keseluruhan RM790,000 diperuntukkan pihak SME Bank itu diharap dapat digunakan sebaik mungkin para usahawan Asnaf bagi memajukan diri mereka sekali gus mengeluarkan diri dari belenggu kemiskinan dan menjadi pembayar zakat pada masa hadapan.
“Pelaksanaan Program ISHRAF 2.0 melalui kerjasama antara YaPEIM dan SME Bank ini diharap dapat meningkatkan bilangan usahawan yang berkualiti, berdaya saing dan berinovatif,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran Program ISHRAF 2.0 dan Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Bank dan YaPEIM yang berlangsung, di sini, hari ini.
Untuk rekod, YaPEIM melalui Bahagian Pembangunan Usahawannya aktif dalam membantu para usahawan khususnya mereka yang berstatus Asnaf dengan mewujudkan Inisiatif Khas yang dikenali sebagai Inspirasipreneur Dream sebagai salah satu komponen utama di bawah Program Inspirasipreneur YaPEIM yang mana seramai 4,232 usahawan telah dibantu dengan sasaran keseluruhan 8,600 orang usahawan akan dibantu.
Program kali ini menyaksikan penglibatan pihak YaPEIM dalam menyediakan program latihan dan bimbingan yang komprehensif. Antaranya Strategi Pemasaran dan Penjualan, Kemahiran Pendigitalan, Pengurusan Kewangan, Proses & Operasi serta Pengurusan Modal Insan.
Sementara itu, majlis menandatangani MoU menyaksikan YaPEIM diwakili Ketua Pengarahnya, Tuan Haji Mohd Ridzal Mohd Sheriff sementara SME Bank diwakili Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aria Putera Ismail.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Muslimin Yahaya serta Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid.