YaPEIM Santuni Keluarga Mangsa Kemalangan Maut Melalui Sumbangan Program Sinar Kasih

KUALA KUBU BARU – Sejumlah RM7,200 disalurkan kepada Puan Ezatul Marini Binti Mohd Ghazali 47, yang merupakan balu mangsa kemalangan maut, Allahyarham Mohd Khaizuzafarin Bin Bedalib, 51, melalui program Sinar Kasih YaPEIM.

Pada November 2018 lepas, Allahyarham maut apabila bas yang dinaiki mangsa terbabas di tebing jalan berbukit berikutan masalah brek di Jalan Ranau-Kudat. Kejadian mengakibatkan 5 penumpang meninggal dunia termasuk mangsa. Mangsa mengalami kecederaan yang serius di kepala dan maut di tempat kejadian manakala isteri dan anak mangsa mengalami kecederaan parah di kaki.

Allahyarham meninggalkan 3 orang anak Syamil Nuqman 21, Syahirah Nafeesa,16 dan Syakir Naeim, 14.

Sumbangan diserahkan oleh YB Senator Datuk Seri Dr. Hj Zulkifli Mohamad Al Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) kepada keluarga Allahyarham. Turut hadir sama Puan Parihah Hasan, Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM dan Pengurusan Utama serta Pegawai Pejabat Pentadbiran YaPEIM Negeri Selangor.

Program Sinar Kasih bertujuan menyantuni anak anak yang kehilangan ketua keluarga secara tiba-tiba khususnya yang mengalami kemalangan dan musibah seperti kemalangan, kebakaran, mati lemas dan bencana alam.

Dengan kehadiran Syawal yang bakal menjelang, diharapkan dengan bantuan ini dapat meringankan bebanan dan menceriakan Aidilfitri mereka sekeluarga.