YAPEIM Salur RM46,500 Melalui Program Aidilfitri MADANI YAPEIM Bantu Masyarakat Johor

23 April 2025 – Program Aidilfitri MADANI YAPEIM peringkat negeri Johor yang dianjurkan hari ini ternyata membawa keceriaan dan keriangan para penerima manfaat apabila sejumlah RM46,500 disalurkan di Masjid Jamek Pekan Air Panas, Labis, pagi ini.

Program yang disempurnakan oleh YBrs. Tuan Rozaidie bin Mustaffa, Pengarah / Ketua Divisyen Projek Khas 1 YAPEIM, telah memanfaatlan seramai 400 orang penerima manfaat melalui pelbagai jenis bantuan antaranya ialah Sumbangan Aidilfitri kepada keluarga, pelajar dan institusi. YAPEIM turut menaja seramai 60 orang usahawan untuk menerima suntikan Tifoid melalui program Pembangunan Ekonomi.

Sementara itu, syarikat Nestle turut bersama-sama menyantuni penduduk Pekan Air Panas.

Program Aidilfitri MADANI YAPEIM dianjur bertujuan menyantuni dan menyasarkan penerima manfaat Program Pembangunan Keusahawanan, Kemasyarakatan dan Pendidikan YAPEIM di samping menjadi medan terbaik dalam mempromosi dan memperkenalkan YAPEIM khususnya penyumbang baharu dan sedia ada kepada skim-skim infak YAPEIM.

Ianya juga mempunyai objektif untuk memperkukuh lagi hubungan korporat dan sosial antara YAPEIM dan rakan strategik YAPEIM, menyediakan ruang dan peluang kepada masyarakat terutama badan korporat untuk bersama YAPEIM dan juga membantu usahawan dalam mengembalikan sumber pendapatan melalui pembekalan bantuan kepada penerima manfaat.

Aidilfitri MADANI YAPEIM peringkat negeri Johor merupakan salah satu daripada sembilan lokasi terpilih di seluruh negara yang akan disantuni YAPEIM menerusi program ini dalam masa terdekat.