21 April 2025 – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar hari ini merasmikan ibu pejabat baharu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) di Menara Ochre @ Alamanda, Putrajaya.
Beliau yang hadir pada majlis Sambutan Aidilfitri YAPEIM itu turut menyempurnakan program serahan sumbangan berjumlah RM470,000 bagi program Aidilfitri MADANI YAPEIM yang memanfaatkan mereka yang memerlukan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Bantuan yang disalurkan berupa sumbangan Sinar Kasih iaitu bantuan Aidilfitri kepada 100 keluarga miskin bernilai RM200 setiap satu yang keseluruhan berjumlah RM20,000; sumbangan Aidilfitri kepada dua institusi berjumlah RM10,000; majlis jamuan keraian Aidilfitri dan kemasyarakatan berjumlah RM20,000; sumbangan YAPEIM Didik kepada 200 penerima yang bernilai RM100 setiap seorang yang keseluruhan berjumlah RM20,000; dan sumbangan pembangunan ekonomi latihan dan tunjuk ajar kepada usahawan berjumlah RM10,000.
YAPEIM turut membuat serahan rumah kepada tiga peserta dan bantuan baik pulih rumah kepada lima peserta yang terlibat bagi Program Sinar Lestari YAPEIM yang berjumlah RM390,000.
Hadir sama Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Tuan Abdul Khudus bin Mohd Naaim dan Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Haji Zabidi bin Nasan.
Program Aidilfitri MADANI YAPEIM dianjur bertujuan menyantuni dan menyasarkan penerima manfaat Program Pembangunan Keusahawanan, Kemasyarakatan dan Pendidikan YAPEIM di samping menjadi medan terbaik dalam mempromosi dan memperkenalkan YAPEIM khususnya penyumbang baharu dan sedia ada kepada skim-skim infak YAPEIM.
Ia juga mempunyai objektif untuk memperkukuh lagi hubungan korporat dan sosial antara YAPEIM dan rakan strategik YAPEIM, menyediakan ruang dan peluang kepada masyarakat terutama badan korporat untuk bersama YAPEIM dan juga membantu usahawan dalam mengembalikan sumber pendapatan melalui pembekalan bantuan kepada penerima manfaat.
YAPEIM mula beroperasi di Menara Ochre @ Alamada, Putrajaya secara rasmi pada 3 Mac 2025 dengan seramai 214 warga kerja yang bertugas sementara 89 orang bagi warga kerja Koperasi YAPEIM Berhad dan 42 orang bagi warga kerja YAPEIM Holdings Sdn Bhd.
























