YaPEIM peruntuk RM2.7 juta bagi Program Ihya’ Ramadan dan Aidilfitri 2024

4 April 2024 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memperuntukkan RM2.7 juta bagi penganjuran Program Ihya’ Ramadan dan Aidilfitri 2024 untuk seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YaPEIM Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed berkata, penganjuran program itu dapat memberi manfaat kepada anak yatim, pelajar miskin, keluarga B40 dan golongan rentan.

Katanya, peruntukan diberi merangkumi penganjuran Program Ziarah Madani yang antara lain melibatkan sumbangan baju raya, duit raya, tajaan majlis berbuka puasa, agihan juadah berbuka puasa dan pemberian foodbank.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri penyampaian sumbangan bagi Program Ihya’ Ramadan dan Aidilfitri 2024 di Masjid Al Husna, Bandar Sunway di Petaling Jaya.

Sementara itu Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Datuk Mohd Radzif bin Mohd Yunus menyampaikan bantuan raya kepada 40 pelajar dan 10 keluarga yang telah dikenalpasti.

Setiap pelajar menerima bantuan duit raya RM50 sementara setiap ketua keluarga menerima bantuan foodbank bernilai RM100 dan duit raya RM100.

YaPEIM juga menyumbang RM2,000 kepada Tabung Masjid Al Husna.