YAPEIM Peruntuk RM1.2 Juta Untuk Program Ramadan MADANI YAPEIM Bantu 7,700 Pelajar Memerlukan

GOMBAK, 19 Mac 2025 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) memperuntukkan sejumlah RM1.2 juta bagi program Ramadan MADANI YAPEIM di lebih daripada 20 lokasi di seluruh negara dengan sasaran bantuan kepada 7,700 pelajar yang memerlukan.

Penerima manfaat adalah pelajar institusi pengajian tinggi, sekolah rendah dan sekolah menengah dalam kalangan keluarga miskin tegar, keluarga miskin dan keluarga B40, sebahagian daripada mereka berupa penerima manfaat program Didik MADANI YAPEIM yang diadakan akhir tahun lepas.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Ameer Ali bin Vali Mohamed, tuan rumah program RAMADAN MADANI YAPEIM termasuk 10 buah universiti, 5 buah politeknik dan 3 buah institut pendidikan.

“Bagi pihak YAPEIM, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua institusi yang telah sudi menjadi tuan rumah kepada program Ramadan MADANI YAPEIM ini,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian di program Ramadan MADANI YAPEIM di Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia (UIAM). Majlis disempurnakan Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar & Penglibatan Komuniti) UIAM YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohamad Fauzan bin Noordin.

Pada petang yang sama, program Ramadan MADANI YAPEIM juga diadakan serentak di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kuching, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Melaka dan Politeknik Balik Pulau di Pulau Pinang.

Petang ini YAPEIM menyalurkan sejumlah RM183,000 di UIAM, UNIMAS, UTeM dan Politeknik Balik Pulau.

Di program Ramadan MADANI YAPEIM di UIAM dan UTeM, YAPEIM menyalurkan sumbangan masing-masing berjumlah RM45,000 yang membabitkan sumbangan YAPEIM Didik berjumlah RM30,000 dalam bentuk bantuan kewangan RM100 setiap satu kepada 300 orang pelajar dan tajaan majlis berbuka puasa sebanyak RM15,000.

Hadir di majlis di UTeM Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UTeM Prof. Madya Datuk Dr. Sabri bin Mohamad, Pengarah/Ketua Divisyen Tadbir Urus YAPEIM Tuan Rozaidie bin Mustaffa dan Ketua Seksyen Kepimpinan Pemikiran YAPEIM Dr. Shamsul Azhar bin Yahya.

Di program Ramadan MADANI YAPEIM di UNIMAS, YAPEIM menyalurkan sumbangan berjumlah RM47,000 yang membabitkan sumbangan YAPEIM Didik berjumlah RM30,000 dan tajaan majlis berbuka puasa sebanyak RM17,000. Turut hadir Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UNIMAS Prof. Ir. Dr. Siti Noor Linda bin Taib dan Ketua Seksyen Pengurusan Risiko & Pematuhan YAPEIM Tuan Muhammad Mikhail bin Gerinsa.

Di program Ramadan MADANI YAPEIM di Politeknik Balik Pulau, YAPEIM menyalurkan sumbangan berjumlah RM46,000 yang membabitkan sumbangan YAPEIM Didik berjumlah RM30,000 dan tajaan majlis berbuka puasa sebanyak RM16,000. Majlis ini dihadiri Timbalan Pensyarah Akademik Politeknik Balik Pulau Ts. Dr. Muhammad Majdi bin Saad dan Ketua Seksyen Pengurusan Pejabat Pentadbiran YAPEIM Negeri Tuan Azli bin Abdullah.

Program Ramadan MADANI YAPEIM bertujuan menyantuni para pelajar yang memerlukan di bulan Ramadan al-Mubarak ini serta persiapan menyambut Aidilfitri menerusi sumbangan tunai.

Sehingga hari ini, program RMY telah menyantuni 3,300 pelajar yang memerlukan di 11 lokasi.