YaPEIM Perkenal Sumbangan Direct Debit, Galak Masyarakat Berinfak Secara Berkala Serendah RM10

YaPEIM hari ini mengumumkan satu pendekatan baharu dengan memperkenalkan sumbangan ‘direct debit’ secara terus melalui pautan di laman sesawang https://infaqpay.my/go/yapeim dalam menggalakkan masyarakat berinfak. Ia dilihat mampu memberi nilai tambah kepada YaPEIM dalam menjadi peneraju kepada institusi amal jariah di Malaysia khususnya.

Pendekatan ini membolehkan lebih ramai individu dan kumpulan sasar yang tidak berpeluang membuat potongan gaji turut sama berinfak secara berkala kepada YaPEIM serendah RM10 sebulan seperti yang sering dilaungkan komuniti global iaitu “dunia kini dihujung jari”.

Platform baharu ini diharap mampu meningkatkan dana Tabung Amanah YaPEIM yang diketahui ramai digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan seperti anak yatim, pelajar miskin, keluarga asnaf serta B40 dan lain-lain dalam pendidikan, amal jariah dan pembangunan usahawan.

Pelancaran YaPEIM direct debit ini disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Datuk Mohd Radzif bin Mohd Yunus.

Bersempena dengan majlis ini, YaPEIM juga mengadakan majlis sambutan Aidilfitri dengan hampir 500 tetamu hadir memeriahkan majlis ini. Turut bersama Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YaPEIM Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed, ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, ahli-ahli jawatankuasa khusus YaPEIM, rakan strategik, rakan media dan warga kerja YaPEIM.

Tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah dan disajikan dengan persembahan dalam kalangan warga kerja YaPEIM.