YaPEIM, MAIWP jalin kerjasama strategik bantu usahawan asnaf

Kuala Lumpur, 15 November : Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) jalin kerjasama strategik menganjurkan program Musa’adah Tijariyyah 2.0 MAIWP dan Inspirasipreuner YaPEIM bagi membantu lebih ramai usahawan asnaf berkembang dalam perniagaan mereka.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Tuan Haji Idris Ahmad, berkata, kolaborasi ini merupakan satu langkah tepat dalam memastikan lebih ramai asnaf dibantu dan dikeluarkan dari kepompong kemiskinan sekali gus menjadikan mereka pembayar zakat.

Katanya, Musa’adah Tijariyyah telah dilancarkan pada Mac lalu dan berjaya menyantuni seramai 1,057 usahawan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3.17 juta. Bagi program Musa’adah Tijariyyah 2.0 kali ini pula MAIWP memperuntukkan sebanyak RM3 juta dengan sasaran 1,000 penerima.

“Saya difahamkan YaPEIM yang mengendalikan kursus Transformasi Minda kepada para usahawan ini akan turut mengenal pasti asnaf yang berpotensi untuk terus digilap menerusi program Inspirasipreneur YaPEIM.

“Kerjasama strategik sebegini amat diperlukan, saya menyeru agar sinergi sebegini diteruskan bukan sahaja dengan YaPEIM tetapi juga dengan agensi-agensi serta rakan-rakan NGO yang lain agar tanggungjawab membantu masyarakat menjadi satu tanggungjawab bersama demi menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Musa’adah Tijariyyah 2.0 di Hotel Premiera di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid; Ketua Pengarah YaPEIM, Mohd Ridzal Mohd Sheriff; Pengarah Kanan di Pejabat Pengarah Pembangunan Usahawan YaPEIM, Parihah Hasan; Ahli Majlis MAIWP, Dr Yusri Mohamad dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya.

YaPEIM menerusi Bahagian Pembangunan Usahawan terbabit secara langsung dalam program ini dengan menyediakan penceramah bertauliah bagi memberi kursus berkaitan keusahawanan kepada para peserta.