YaPEIM lancar Tabung Bantuan Pemuliharaan Haiwan Zoo Negara

Kuala Lumpur, 2 Disember – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) melancarkan Tabung Bantuan Pemuliharaan Haiwan bermula hari ini hingga 28 Februari depan bagi membantu meringankan beban kewangan pengurusan Zoo Negara.

Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan berkata, pelancaran tabung berkenaan dibuat mengambil kira penularan pandemik COVID-19 yang memberikan kesan kepada pengoperasian Zoo Negara.

Katanya, situasi semasa menyaksikan operasi Zoo Negara tidak dapat dijalankan seperti biasa dan kesan pemberhentian operasi itu turut memberi impak kepada semua haiwan yang terdapat di dalam Zoo Negara yang memerlukan makanan dan penjagaan harian.

“Orang ramai boleh menderma di semua 203 cawangan Ar Rahnu YaPEIM di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan ini sebelum hasil kutipan diserahkan kepada pihak pengurusan Zoo Negara.

“Pihak YaPEIM berharap usaha ini akan mendapat sambutan daripada masyarakat serta pencinta haiwan sekali gus membantu meringankan beban pihak pengurusan Zoo Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada majlis pelancaran Ar Rahnu Care YaPEIM di premis Ar Rahnu YaPEIM cawangan Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Media sebelum ini turut melaporkan kos operasi Zoo Negara yang secara purata mencecah RM1 juta sebulan iaitu meliputi pembayaran gaji kakitangan berjumlah RM400,000, keperluan makanan (RM350,000), bil elektrik (RM140,000) dan bil air sebanyak RM40,000.