YaPEIM Lancar SIG, Beri Peluang Masyarakat Berinfaq

Bangi, 28 Jun 2022 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) melancar dan menjenamakan semula Skim Potongan Gaji (SPG) YaPEIM kepada Skim Infaq Gaji (SIG) YaPEIM sebagai langkah pembaharuan yang diambil bagi memberikan imej baru kepada penyumbang terutamanya golongan muda untuk bersama YaPEIM membantu mereka yang kurang bernasib baik. Langkah diambil ini juga bagi menyesuaikan SIG dengan perubahan masa, persekitaran, fokus penerima manfaat dan teknologi serta meningkatkan kecekapan dan pemahaman masyarakat kepada SIG.

Pelancaran SIG ini turut menampilkan kaedah menyumbang, capaian maklumat, logo dan persepsi yang lebih jelas dan inklusif kepada penyumbang dan pihak berkepentingan yang lain. Sebelum ini SPG YaPEIM dilancarkan pada Januari 1985 dan berjaya menarik ramai kakitangan awam dan swasta untuk berinfaq melalui potongan gaji dari serendah RM1 sebulan. Selepas 37 tahun, SPG telah ditransformasikan kepada SIG dan masih mengekalkan objektif yang sama iaitu menjadi platform untuk membudayakan amalan bersedekah masyarakat dan mengukuhkan kekuatan ekonomi kepada golongan miskin yang menjadi kumpulan sasar. Ia juga menyediakan ruang kepada masyarakat untuk menyumbang kepada golongan memerlukan melalui YaPEIM secara tersusun dan sistematik bagi membolehkan YaPEIM melaksanakan pelbagai program amal jariah.

Majlis pelancaran disempurnakan YB Senator Datuk Hj. Idris Hj. Ahmad, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Hotel Tenera, dan dihadiri Dato’ Hj. Mohd Redza Shah Abdul Wahid, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM serta Tuan Hj. Awang @ Musran Tawil, Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM.

SIG turut merangkumi skim sokongan iaitu Skim E-jariah, Skim Resit Amal Jariah, Skim Korporat Penyayang yang turut menyumbang kepada peningkatan dana Tabung Amanah YaPEIM. Menerusi skim ini dana yang terkumpul di Tabung Amanah YaPEIM akan diagihkan kepada mereka yang memerlukan menerusi pelbagai program amal jariah yang telah dirancang.

Untuk rekod, sejak Januari 1985 hingga Mei 2022 seramai 561,516 penyumbang telah berinfaq dengan YaPEIM termasuk 245,252 orang penyumbang yang masih aktif sehingga kini. Sejak Januari 1985 sehingga Mei 2022, pihak YaPEIM telah membuat agihan sumbangan yang terkumpul menerusi Tabung Amanah YaPEIM berjumlah RM797.77 juta membabitkan 8.18 juta penerima manfaat di seluruh negara.

Sumbangan yang diagihkan ini membabitkan penerima manfaat seperti pelajar, keluarga miskin, usahawan asnaf, anak yatim/miskin, kumpulan B40, pertubuhan kebajikan/institusi pendidikan serta beberapa kumpulan sasar yang dikenal pasti. Untuk tempoh dari tahun 1985 sehingga April 2022 pula pihak YaPEIM berjaya mengumpul kira-kira RM652 juta melalui SPG.

Menerusi Tabung Amanah YaPEIM pelbagai aktiviti dapat dilaksana seperti aktiviti kebajikan yang merangkumi program Foodbank YaPEIM, program Sinar Kasih, Inspirasi Prihatin YaPEIM dan program kebajikan lain. Manakala aktiviti sosioekonomi merangkumi Inspirasi Pendidikan YaPEIM, Dana Inspirasi Malaysia, Program Inspirasiku MyHAUS dan program sosioekonomi yang lain dan aktiviti keusahawanan merangkumi program Inspirasi Usahawan Emas YaPEIM, Inspirasipreneur MyHAUS YaPEIM, program Pembangunan Usahawan Asnaf dan beberapa program usahawan yang lain.