28 September 2024 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) lancar Projek Pembangunan Komuniti YAPEIM (PPKY) Negeri Sarawak di Asajaya, Samarahan hari ini sambil menyalurkan bantuan berjumlah RM140,000.
Majlis pelancaran projek tiga tahun di Masjid An-Najah itu disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Datuk Mohd Radzif bin Mohd Yunus.
PPKY berupa satu projek dengan pendekatan holistik dalam menyantuni masyarakat atau komuniti setempat melalui pelaksanaan aktiviti teras YAPEIM iaitu pembangunan ekonomi Islam, pendidikan dan pembangunan sosial, yang termasuk pembangunan usahawan dan amal jariah.
Sumbangan yang disalurkan hari ini berupa bantuan kewangan pendidikan tunai RM100 setiap seorang kepada 200 pelajar yang kurang berkemampuan dari empat buah sekolah terpilih berjumlah RM20,000; penganjuran jamuan keraian yang memanfaatkan 500 orang berjumlah RM16,000; dan sumbangan bagi pelaksanaan program motivasi Celik Kendiri kepada 200 pelajar berjumlah RM5,000.
YAPEIM turut menyalurkan sumbangan musibah atau bencana bernilai RM500 setiap satu kepada 10 keluarga berjumlah RM5,000; dan satu set makanan bernilai RM100 kepada 40 keluarga berjumlah RM4,000.
YAPEIM turut memperuntukkan sumbangan usaha sama strategik kepada Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (ICU) Jabatan Perdana Menteri berjumlah RM90,000 bagi mengenal pasti tiga calon penerima yang layak untuk dipertimbangkan bagi bantuan baik pulih premis perniagaan melalui Program Sinar Lestari YAPEIM.
Tambahan daripada itu, Kelab Sukan, Sosial dan Kebajikan YAPEIM (KeSSKY) pula memberi sumbangan berupa mikrofon tanpa wayar, skrin mudah alih dan bantuan tunai kepada 200 pelajar yang berjumlah RM6,000.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed, Pegawai Daerah Asajaya Tuan Jerry Zannuddin bin Bidin dan Pengerusi Masjid An Najah Tuan Iskander bin Ali.
Sehingga kini YAPEIM telah melancar PPKY di lapan buah masjid. Tujuh yang dilancar sebelum ini ialah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Pahang, Melaka, Sabah dan Perak.