YaPEIM Lancar Akaun SERY, Simpanan Emas Masa Depan

Kuala Lumpur, 1 April : Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) melangkah satu tapak ke hadapan apabila memperkenalkan Akaun Emas YaPEIM atau singkatannya Akaun SERY yang bukan sahaja bertujuan meningkakan pendapatan Yayasan ini malah membantu masyarakat yang terkesan ketika pandemik COVID 19.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, produk Akaun SERY ini merupakan satu bentuk simpanan emas yang boleh dibeli secara digital melalui Platform DiY@ (Digital YaPEIM) dan boleh juga ditukar kepada emas fizikal bagi emas yang dibeli secara digital dengan caj yang berpatutan.

“Ini menunjukkan YaPEIM sudah menapak satu tapak ke hadapan bagi membantu mereka yang memerlukan serta merancakkan lagi ekonomi dalam bentuk yang bagi saya sama-sama bersaing dengan pemain-pemain emas yang lain, Alhamdulillah.

“Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada YaPEIM bermula daripda pengerusinya (Dato Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid) dan juga kepimpinan YaPEIM dalam menjayakan program seperti ini dan banyak inisiatif-inisiatif baru mengembangkan sektor ekonomi YaPEIM,” katanya ketika ditanya pemberita selepas majlis pelancaran Produk Akaun Emas YaPEIM di Hotel Seri Pacific, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM Puan Parihah Hasan dan barisan pengurusan utama YaPEIM.

Datuk Dr Zulkifli turut berharap YaPEIM dapat melakar kejayaan-kejayaan baharu pada masa akan datang sekali gus membantu meningkatkan ekonomi umat Islam.

Untuk rekod Akaun SERY yang diperkenalkan ini adalah simpanan emas yang pertama di negara ini di mana transaksi jual beli emas daripada serendah RM5 serta boleh dipantau secara dalam talian.

Akaun ini juga merupakan satu inovasi produk hybrid dalam industri simpanan emas mengetengahkan konsep tunai dan emas di mana ia turut menggunakan kaedah pendigitalan (Digitalisation) melalui platform dalam talian iaitu Digital YaPEIM (DiY@) yang diguna pakai dalam menjalankan transaksi sekali gus akan menarik lebih ramai masyarakat luar untuk membuka Akaun SERY.