YaPEIM, Hong Leong MSIG Takaful jalin kerjasama strategik perkenal Takaful Tenang

KUALA LUMPUR, 7 FEBRUARI 2022 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bersama Hong Leong MSIG Takaful menjalinkan kerjasama strategik bagi program Baucar RM75 Perlindungan Tenang (PTV) bagi membantu kumpulan B40 di Malaysia.

Perlindungan Takaful Tenang ini menawarkan perlindungan sehingga RM30,000 melalui baucar RM75 yang boleh dimanfaatkan orang ramai yang memenuhi syarat ditetapkan.

Majlis pelancaran kerjasama startegik ini diadakan di Hotel Berjaya, di ibu negara hari ini. Ia dihadiri Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Dato Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid; Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Tuan Haji Awang@Musran Tawil; Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong MSIG Takaful, Encik Mohd Asri Omar dan Pengurusan Utama YaPEIM.

Perlindungan Takaful Tenang memberikan perlindungan terhadap kematian dan ilat kekal atas semua sebab termasuk kemalangan. Sekali gus memberikan satu lagi nilai tambah kepada masyarakat B40 dan mampu meringankan beban mereka pada saat sukar.

Baucar RM75 akan diberikan kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) iaitu mereka yang didaftarkan sebagai kumpulan B40. YaPEIM akan membantu mendaftarkan seberapa ramai mereka yang memenuhi syarat ditetapkan.