Petaling Jaya, 11 Mac : Seminar Inspirasi Emas dianjurkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) selama dua hari iaitu bermula pada semalam berpeluang membantu masyarakat yang berminat dalam bidang emas untuk menjana pendapatan.
Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM Parihah Hasan berkata, usaha yang dilaksanakan pihak YaPEIM ini bertujuan menarik lebih ramai individu di luar sana untuk menjadi usahawan emas tanpa perlu mengeluarkan sebarang modal dan hanya menggunakan platform Digital YaPEIM (DiYa).
“Apa yang menarik saya lihat program ini dalam ‘effortless marketing’ di mana mereka perlu menggunakan platform DiYa untuk mempromosikan produk. Hanya kongsi ‘Share Code’ yang dijana di sistem Digital YaPEIM untuk memperolehi pendapatan.
“Seminar dua hari yang dianjurkan ini disertai 39 peserta yang mana kita anjurkan secara fizikal iaitu di Ibu Pejabat YaPEIM serta secara Webinar untuk memberi lebih kefahaman kepada mereka berkenaan sistem dan cara untuk mereka menambah pendapatan melalui emas,” katanya kepada YaPEIM TV, di sini, hari ini.
Parihah memaklumkan, seminar dianjurkan ini juga mampu membuka peluang serta memberi ruang untuk mereka yang kehilangan kerja, individu yang ingin menjana pendapatan tambahan serta suri rumah yang mahu meningkatkan pendapatan keluarga untuk bersama menjadi Usahawan Emas YaPEIM.
Selain itu katanya, ia juga langkah memperkenalkan produk baharu YaPEIM iaitu Akaun Emas YaPEIM atau SERY kepada masyarakat untuk bersama mempromosikannya.
“Inisiatif Usahawan Emas ini turut terpakai dalam mempromosikan produk YaPEIM Gold. Insya-Allah sekiranya ia mendapat sambutan (seminar) maka siri-siri seterusnya akan dilaksanakan. Mungkin dalam tempoh sebulan, dua tiga siri akan dijalankan,” katanya.
Sementara itu, peserta seminar Mohd Izwan Mustafa Kamal, 40, berkata, seminar yang dianjurkan ini memberi kefahaman kepada beliau untuk memahami berkenaan selok belok inovasi digital emas serta aspek syariah yang terkandung dalam perniagaan ini.
“Bagi saya ia seminar yang bagus kerana mampu membuka mata masyarakat terutama orang Islam di luar sana mengenai kepentingan menyimpan emas. Sepanjang dua hari seminar ini saya banyak didedahkan berkenaan produk-produk YaPEIM dan perniagaan emas dijalankan.
“Saya pun sebelum ini diperkenalkan oleh rakan berkenaan produk YaPEIM Gold dan Alhamdulillah banyak produk YaPEIM Gold saya sudah beli dan jadikan koleksi,” katanya.
Bagi guru yang bertugas di Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Rampai itu, seseorang perlu mempunyai ilmu berkenaan logam emas sebelum menceburkan diri ke arah penyimpanan emas.
Bagi perunding kewangan, Marini Nasution, 44, seminar yang dianjurkan banyak memberi manfaat kepada dirinya dan rakan-rakan lain yang mana ada ilmu berkenaan jual beli emas sebelum ini yang tidak diketahuinya.
“Macam saya yang bekerja sebagai perunding kewangan mungkin saya boleh bercerita kepada pelanggan saya berkenaan cabang pelaburan emas di mana sebelum ini mungkin mereka lebih terdedah kepada medium pelaburan yang lain,” katanya.
Beliau berharap, usaha seperti ini diteruskan pada masa akan datang bagi membolehkan lebih ramai masyarakat di luar sana mempunyai ilmu dan pengetahuan berkaitan emas serta teknik pelaburan emas yang patuh syariah.