YaPEIM agih 3,000 pek juadah berbuka puasa

28 Mac 2024 – Hampir 10,000 pengunjung yang hadir di sekitar Masjid Putra di Putrajaya tidak melepaskan peluang berbuka puasa dalam Majlis Iftar Madani bersama YAB Perdana Menteri.

Majlis Iftar Madani ini berupa anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama 14 agensi agama Persekutuan termasuk Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Warga YaPEIM turut tidak ketinggalan mengagih 3,000 pek juadah nasi Arab kepada orang ramai yang berada di sekitar perkarangan Masjid Putra seawal jam 6 petang.

Sesi agihan turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YaPEIM Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed.

Sumbangan juadah ini merupakan hasil infak masyarakat kepada Tabung Amanah YaPEIM. Terima kasih penyumbang YaPEIM.

“Siapa yang memberi makan berbuka kepada orang yang sedang berpuasa, maka dia akan mendapat pahala orang tersebut tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut sedikitpun jua.” (Hadith riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi)