Usahawan Asnaf Sambut Baik Program Pembangunan Ekonomi dan Keusahawanan Asnaf

Kuala Lumpur, 12 Oktober 2022 – Ibarat pucuk dicita ulam mendatang. Itu gambaran yang boleh diberikan terhadap sambutan usahawan asnaf terhadap Pelancaran Program Pembangunan Ekonomi dan Keusahawanan Asnaf yang bakal mentransformasikan kehidupan mereka selepas ini.

Abu Ubaidah Razak yang mengusahakan perusahaan kafe dan roti berkata, program kerjasama antara Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mampu memberi peluang kepada usahawan asnaf sepertinya mendapatkan modal pusingan untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Alhamdulillah program ini membolehkan saya mendapat modal untuk memajukan lagi perniagaan saya. Selain itu Insya-Allah ia juga boleh meningkatkan taraf kehidupan saya,” katanya dalam Majlis Pelancaran Program Pembangunan Ekonomi dan Keusahawanan Asnaf di Hotel Sunway Putra, di sini, hari ini.

Majlis dilancarkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Datuk Haji Idris Haji Ahmad dan dihadiri Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Tuan Haji Awang @ Musran Tawil serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Tuan Mohd Nizam Haji Yahya.

YaPEIM dan MAIWP turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam majlis berkenaan.

Melalui program yang dilancarkan ini membolehkan satu platform iaitu Skim I Dana YaPEIM diwujudkan dan menjadi akuan pemilikan kepada pelanggan yang memiliki emas sebagai sekuriti untuk membolehkan mereka memperoleh akses kredit serta pembiayaan daripada institusi kewangan yang terpilih.

Program ini juga mampu menjana ekonomi melalui pengembangan dan pemerkasaan perniagaan atau pelaksanaan aktiviti-aktiviti produktif lain yang meningkatkan sektor ekonomi.

Program Pembangunan Ekonomi dan Keusahawanan Asnaf ini mempunyai objektif antaranya ialah memupuk semangat menabung dan menyimpan emas di samping memperkasakan semangat keusahawanan, membantu individu yang tidak mempunyai cagaran dengan menyediakan perlindungan jaminan untuk mendapatkan kemudahan kredit dari institusi kewangan, memberi peluang kepada usahawan asnaf untuk menerima kemudahan perbankan “from unbankable to bankable” apabila mempunyai “good credit track record” dan semestinya dapat mentransformasikan asnaf daripada penerima zakat kepada pembayar zakat.

Asnaf dan usahawan asnaf berstatus warganegara serta berumur 18 tahun ke atas dan tidak muflis layak menyertai program ini yang mana ia peserta yang terpilih adalah daripada senarai nama yang diberikan oleh MAIWP iaitu seramai 2000 individu berpotensi dan memenuhi kriteria.

Selaku agensi bertanggung jawab dalam menyediakan senarai 2000 usahawan berpotensi ini, MAIWP turut menyediakan dana bagi pembelian emas kepada usahawan asnaf yang secara keseluruhan berjumlah RM20 juta.