Travelog YaPEIM : Kongsi rezeki, ummah harmoni.

Perjalanan kami dari Ibu Pejabat Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bermula seawal jam 8 pagi sebelum bergerak menuju ke lokasi penyerahan sumbangan kali ini di sekitar Tanjung Malim, Perak Darul Ridzuan.

Misi kali ini turut disertai Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM Puan Parihah Hasan, hadir sama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid.

Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri turut hadir biarpun dibatasi dengan tugasan lain.

Sebaik menjejakkan kaki di lokasi penerima pertama, Dr Zulkifli yang seperti biasa sentiasa mengukir senyuman di wajahnya meluangkan masa bertanyakan khabar warga emas yang diziarahi sebelum beliau dan pasukan kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke beberapa lokasi penerima lain sekitar Tanjung Malim.

Dalam susunan pergerakan hari ini, Dr Zulkifli sempat menziarahi beberapa warga emas biarpun dalam tempoh masa yang sangat singkat, namun semuanya berjalan lancar dan mengikut standard pematuhan operasi yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Malah, murabbi Dr Zulkifli turut mengajak semua untuk sama-sama mengaminkan doa yang dibacakannya khusus untuk keafiatan dan kebahagian hidup di dunia dan akhirat.

Kunjungan dalam rangka kerja penyerahan bantuan kepada warga emas berkenaan antara pengisian program Inspirasi Prihatin iaitu salah satu cabang khidmat sosial dan amal jariah YaPEIM di bawah terma Inspirasi Qaseh Kami.

Wang tunai dan bantuan barang keperluan antara yang diterima mereka dalam lawatan kali ini.

Perjalanan kami kemudiannya diteruskan ke Darul Quran JAKIM di Kuala Kubu Bharu dan sejumlah 150 pek foodbank diserahkan kepada petugas dan kakitangan pusat pengajian Islamik itu sebelum semuanya kembali ke destinasi masing-masing.

Ya, bertemu dan berpisah hanya kerana Allah, Tuhan Sekalian Alam. Semoga usaha kita semua dirahmati Allah Yang Maha Esa dan terima kasih kepada semua penyumbang.

Semoga diizinkan kita semua berjumpa lagi.