Skuad Musa’adah Keluarga Malaysia dilancar

Putrajaya, 7 Disember : Skuad Musa’adah Keluarga Malaysia Agensi Di Bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dilancar secara rasmi di Kompleks Islam Putrajaya, di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Tuan Haji Idris Haji Ahmad yang melepaskan 11 buah kenderaan sempena simbolik pelancaran berkenaan.

Terdahulu Tuan Haji Idris dalam ucapannya berkata, fungsi Skuad Musa’adah Keluarga Malaysia ini adalah bagi mengenal pasti sasaran bantuan, turun padang menjejaki asnaf, membantu golongan yang ditimpa musibah dan mengambil tindakan serta merta secara kolektif.

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) turut memainkan peranan besar dalam menjayakan Skuad Musa’adah Keluarga Malaysia ini antaranya dengan melaksanakan Program Foodbank YaPEIM, Sinar Kasih, Dana Inspirasi Malaysia dan Inspirasi Prihatin.

Pada pelancaran program ini YaPEIM turut menyumbang 50 set Foodbank YaPEIM berupa barangan makanan asas bernilai RM5,500 yang akan dihantar ke Jabatan Pendidikan Putrajaya.