Semoga Lekas Sembuh Pejuang Kanser Limfoma

Tidak menyangka batuk dalam tempoh yang lama selain tidak pulih walaupun sudah mengambil pelbagai jenis ubat menyebabkan Puan Ismaniza Ismail, 37, disahkan menghidap kanser limfoma.

Eksekutif Penyeliaan Cawangan Ar Rahnu YaPEIM Bandar Tun Razak itu memaklumkan beliau mula batuk sejak Februari lalu sebelum mengambil keputusan menjalankan pemeriksaan kesihatan secara lebih menyeluruh.

Katanya, beliau kemudian disahkan doktor menghidap kanser limfoma sebelum dimasukkan ke wad dan dirawat Hospital Serdang.

“Saya sudah menjalani rawatan kimoterapi dan selepas ini akan menjalani rawatan di Hospital Ampang pula.

“Sepanjang saya dirawat di Hospital Serdang suami saya (Mohd Hafiz B Baharudin, 39) yang menguruskan anak-anak dan keperluan keluarga,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Beliau ditemui selepas menerima kunjungan ziarah Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YaPEIM Encik Ameer Ali Vali Mohamed, Pengurus Besar Koperasi YaPEIM Berhad Encik Mohamad Fozi Tunggal, Presiden Kelab Sukan, Sosial dan Kebajikan YaPEIM (KeSSKY) Mohd Radzali Abd Latiff serta bersama kakitangan YaPEIM di kediamannya di Bangi, Selangor hari ini.

Dalam kunjungan itu, Encik Ameer Ali turut menyerahkan sumbangan tunai daripada KeSSKY berjumlah RM1,000 dan kemudian turut bersama warga kerja YaPEIM menitipkan doa agar Puan Ismaniza lekas sembuh dan diberikan kesihatan yang berpanjangan oleh Allah SWT.