Rumah MyHAUS, anugerah buat kami

KUALA TERENGGANU, 11 FEBRUARI 2022 – Kehidupan pasangan Mohd Khaizuan Oslan Affandi, 33, dan Tuan Norlyda Tuan Ariffin, 30, bukanlah dari kalangan kehidupan orang berada, namun kegigihan mereka berdua untuk membesarkan tiga cahaya mata dengan berniaga makanan sejuk beku amat mengagumkan.

Bermula secara separuh masa pasangan suami isteri itu kemudian berjaya memajukan perniagaan mereka sedikit demi sedikit dan akhirnya kini berniaga secara sepenuh masa dengan mengusahakan produk donut sejuk beku, roti, keropok dan banyak lagi.

Mohd Khaizuan memaklumkan dia bersyukur apabila kehidupan keluarganya sentiasa diberkati dan dipermudahkan oleh Allah SWT apabila mereka terpilih sebagai keluarga asnaf yang layak dibantu menerusi pelaksanaan Program Inspirasiku MyHAUS YaPEIM.

Menerusi program itu beliau menerima manfaat iaitu bantuan bina/naik taraf kediaman berjumlah RM40,000 selain bantuan kelestarian perniagaan berjumlah RM5,000 serta bantuan inspirasi pendidikan anak dengan jumlah bantuan maksimum hingga RM5,000.

“Pada tahun lepas saya didatangi pegawai MAIDAM (Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu) mengatakan saya layak dibantu melalui Program ini. Saya pun tidak sangka apa yang saya boleh katakan adalah dengan mengucap syukur kepada Allah dan berterima kasih kepada YaPEIM dan semua pihak.

“Rumah saya yang telah dibaik pulih ini membolehkan saya menjalankan perniagaan dengan lebih selesa dan mudah selain beri keselesaan kepada anak-anak saya,” katanya yang turut menjaga kedua orang tuanya.

Mohd Khaizuan berkata, dengan bantuan peralatan perniagaan seperti mesin menguli tepung dan mesin penyimpanan dan pemprosesan roti diterima dari pihak YaPEIM akan membantu perniagaannya berkembang dengan lebih baik.

Kerja-kerja baik pulih kediaman Mohd Khaizuan yang siap sepenuhnya pada 15 November tahun lalu turut mendapat perhatian Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Haji Idris Haji Ahmad yang hadir ke Kampung Masjid Raja, Chendering di sini, menyerahkan kunci kepada beliau sebagai simbolik penyerahan rumah yang telah siap dibina menerusi Program Inspirasiku MyHAUS YaPEIM ini.

Sehingga kini YaPEIM telah mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM2.56 juta membabitkan 47 buah projek di sembilan negeri dengan 263 jumlah keseluruhan penerima manfaat membabitkan Program Inspirasi MyHAUS ini.