RM288,000 Dana Inspirasiku disalur ke Universiti Malaya.

Kuala Lumpur, 4 Oktober – Seramai 576 penuntut Universiti Malaya (UM) boleh menarik nafas lega apabila menerima sumbangan Program Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) yang secara keseluruhan berjumlah RM288,000.

Sumbangan yang dihulurkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) itu disampaikan oleh YBhg Tuan Hj Mohd Ridzal Mohd Sheriff, Ketua Pengarah YaPEIM kepada YBhg Prof Dr Sabri Musa, Timbalan Naib Canselor(Hal Ehwal Pelajar) UM dan disaksikan oleh YB Senator Idris Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Agama).

Turut hadir sama ialah YBhg Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid, Pengerusi YaPEIM.

Untuk rekod, sehingga Ogos 2021, sejumlah RM22.4 juta dari Dana Inspirasiku telah disalurkan kepada 134,332 penerima manfaat. Bagi penerima IPT, sejumlah RM11.3 juta disalur kepada 22,660 mahasiswa.

Dr Sabri berkata, mewakili pihak UM beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak YaPEIM atas inisiatif yang dilaksanakan bagi membantu para mahasiswa mereka.

Dana Inspirasiku merupakan satu inisiatif yang diperkenalkan oleh YaPEIM pada 2019 bagi menyantuni keluarga berpendapatan rendah atau golongan B40 yang dengan mensasarkan seramai 40,000 penerima manfaat yang terdiri daripada pelajar sekolah dan IPT di seluruh negara.

Sumbangan Dana Inspirasiku ini secara kebiasaan dimanfaatkan bagi membayar yuran pengajian selain membeli keperluan pembelajaran seperti buku rujukan.