BESUT, 16 Mac 2025 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyalurkan sumbangan berjumlah RM45,000 bagi program Ramadan MADANI YAPEIM di Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan, di sini, hari ini yang memanfaatkan kumpulan memerlukan.
Sumbangan berupa bantuan tunai YAPEIM Didik berjumlah keseluruhan RM30,00 kepada 300 pelajar dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dan pelajar sekolah menengah/rendah. Dalam masa sama, YAPEIM turut menaja pelaksanaan majlis berbuka puasa kepada 400 tetamu jemputan yang hadir berjumlah RM15,000.
Hadir sama Pengarah/Ketua Divisyen Pembangunan Sosioekonomi YAPEIM Tuan Muhamad Khairul Anuar bin Ibrahim dan Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan, Besut Dr. Ahamad bin Rahim dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Besut Sektor Pembelajaran Encik Zuraidi bin Wahid.
Program Ramadan MADANI YAPEIM dianjur bertujuan menyantuni kumpulan sasar sebagai persiapan menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan dan persediaan menyambut hari raya Aidilfitri. Di samping itu sebagai usaha bersepadu YAPEIM dalam menggerakkan aktiviti-aktiviti teras bagi tahun 2025 iaitu teras bantuan kemasyarakatan dan bantuan pendidikan.
YAPEIM menjangkakan program ini akan memberi manfaat kepada 7,700 pelajar terpilih dari IPT serta sekolah menengah/rendah dan 2,600 golongan memerlukan yang dibahagikan mengikut pelajar yang dikenalpasti oleh IPT masing-masing yang berada dalam kategori keluarga miskin/miskin tegar, penerima manfaat Program Didik MADANI pada tahun lalu yang terbabit sebagai urusetia pada program Ramadan MADANI YAPEIM pada kali ini dan pelajar sekolah.
Untuk makluman pada 2024 YAPEIM telah memperkenalkan bantuan pendidikan kepada pelajar IPT melalui Program Didik MADANI yang merupakan inisiatif baharu dengan menyasarkan pelajar dalam kalangan B40/asnaf dengan objektif utama untuk membantu meringankan jumlah pembayaran yuran pengajian.
Program yang memanfaatkan pelajar di 20 universiti awam itu telah disempurnakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar. Susulan daripada penganjuran Program Didik MADANI itu maka pihak YAPEIM bersetuju mewujudkan Program Ramadan MADANI YAPEIM bagi membantu pelajar-pelajar serta mereka yang memerlukan.
Secara keseluruhan sejak tahun 1985 hingga Disember 2024, YAPEIM telah mengagihkan sebanyak RM725 juta kepada 14 juta penerima manfaat di seluruh negara membabitkan tiga teras YAPEIM iaitu pembangunan ekonomi/keusahawanan, bantuan pendidikan dan bantuan kemasyarakatan.














